B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia kekal pada trajektori untuk pemulihan negara: MITI

Malaysia kekal pada trajektori untuk pemulihan negara: MITI

16 Ogo 2021

Malaysia tetap berada di landasan yang betul dalam memulihkan ekonominya melalui dorongan permintaan luaran yang disokong oleh produk elektrik dan elektronik (E&E), petroleum, getah, minyak sawit serta kimia, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ini berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku kedua 2021 yang meningkat 16.1 peratus dari tahun ke tahun berbanding pengurangan 0.5 peratus pada suku pertama 2021 dengan sektor pembuatan menjadi penyumbang utama dengan catatan pertumbuhan sebanyak 26.6 peratus pada suku kedua 2021 berbanding 6.6 peratus semasa suku pertama 2021.

“Ini mampu diraih berikutan komitmen kami dalam memastikan bahawa negara dapat menangani cabaran wabak dengan berkesan dan muncul dengan lebih mantap,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Daripada segi prestasi pelaburan, pelaburan swasta merekodkan kenaikan 17.4 peratus menjelang suku kedua 2021 iaitu bernilai RM59.3 bilion berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, membuktikan gambaran positif peningkatan perbelanjaan modal di sektor perkhidmatan dan pembuatan, yang sangat penting bagi penciptaan peluang pekerjaan.

Ketika bercakap mengenai pelaburan langsung asing, MITI menjelaskan kerajaan akan terus menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi dalam teknologi serta inovasi bagi meletakkan Malaysia sebagai hab rantaian bekalan alternatif di Asia.

“Sebagai hasil daripada misi perdagangan dan pelaburan yang telah dirancang dengan rapi dan strategik yang dilaksanakan dalam tempoh Januari hingga Jun 2021, Malaysia telah berjaya meraih komitmen pelaburan sebanyak RM35.97 bilion dengan penciptaan 28,000 peluang pekerjaan selain daripada potensi nilai eksport berjumlah RM3. 4 bilion.

“Tambahan pula, penubuhan Pusat Sehenti untuk Pelancong Perniagaan bagi memudahkan pergerakan pelabur semasa wabak ini telah membantu menyenangkan pengusahaan 43 projek dengan potensi nilai pelaburan sebanyak RM115.8 bilion,” katanya.

Prestasi eksport pada 2021 dijangka mencatatkan pertumbuhan lebih lanjut dengan sektor pembuatan meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk memenuhi pengembangan permintaan luaran.

Prestasi dalam sektor E&E, sarung tangan getah dan peranti perubatan dijangka akan mendapat lonjakan selepas menyaksikan permintaan berterusan terhadap produk ini susulan perebakan pandemik Covid-19.

“Kerajaan telah mengambil tindakan pantas dan tegas untuk memastikan bahawa negara mampu mengekalkan kestabilan pertumbuhan ekonomi termasuk menguruskan krisis kesihatan awam yang terbesar di negara ini,” katanya.

Kerajaan juga turut mengulangi komitmen untuk bekerjasama dengan industri dan komuniti perniagaan dalam mengukuhkan ekonomi selain, memastikan kesejahteraan rakyat yang berkelanjutan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon