B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kelonggaran sekatan ekonomi dorong perkembangan positif sektor automotif

Kelonggaran sekatan ekonomi dorong perkembangan positif sektor automotif

16 Ogo 2021

Langkah pengumuman kelonggaran sekatan ekonomi, termasuk pembukaan sektor-sektor tidak penting termasuk automotif dan kilang komponennya bermula hari ini, disifatkan sebagai perkembangan positif bagi industri automotif.

MIDF Amanah Investment Bank berkata pengumuman tersebut juga penting kerana dapat menghidupkan semula operasi keseluruhan rantaian nilai berkaitan mulai minggu ini dan tempoh-tempoh berikutnya.

Bagaimanapun, katanya, pembukaan semula kilang pembuatan automotif itu masih tertakluk kepada status pekerja yang perlu lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19 pada kadar minimum 40 peratus hingga 59 peratus yang membenarkan kapasiti operasi sehingga 60 peratus.

Sebaliknya, kilang dengan kadar vaksinasi pekerja lengkap suntikan vaksin 60 peratus hingga 79 peratus serta 80 peratus hingga 100 peratus, masing-masing dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80 peratus dan 100 peratus.

“Premis peruncitan automotif di negeri-negeri pula perlu mempunyai sekurang-kurangnya 50 peratus kadar vaksinasi pekerja manakala pelanggan perlu mendapat suntikan lengkap,” katanya dalam nota penyelidikan pada Isnin.

Menurutnya, berdasarkan kenyataan penggiat terpilih, lebih 90 peratus pekerja mereka termasuk di peringkat kilang, telah mendapat suntikan lengkap yang jauh lebih tinggi daripada kadar vaksinasi di peringkat negeri.

“Namun, kami difahamkan bahawa tenaga kerja itu perlu menghabiskan tempoh 14 hari selepas suntikan kedua dan menandakan pengeluaran berkemungkinan diperingkat secara beransur-ansur mulai sekarang hingga akhir Ogos ini,” katanya.

Menurutnya, perkembangan positif lain adalah stok pemasangan tempatan (CKD) pada masa ini adalah memadai berikutan penghantaran yang masih dijalankan ketika sekatan pergerakan, sekali gus dapat melonjakkan pengeluaran bagi menampung kerugian dialami sebelum ini.

“(Perkembangan) kedua merujuk kepada tunggakan pesanan yang kukuh (dua hingga empat bulan sebelum sekatan pergerakan dilaksanakan) manakala permintaan turut disokong semula oleh pengecualian cukai sehingga 31 Disember, 2021.

“Ketiga, kami melihat wujudnya ruang untuk kilang-kilang automotif meningkatkan jadual syif pengeluaran apabila dapat memenuhi keperluan kapasiti operasi penuh menjelang akhir bulan ini,” katanya.

Faktor seterusnya adalah Lembah Klang yang juga antara tumpuan permintaan utama yang menyumbang 41 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV), telah mencapai kadar vaksinasi sebanyak 64.7 peratus yang membolehkan kehadiran semula bakal pembeli ke bilik-bilik pameran.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon