B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia, Jepun komited perkukuh perdagangan, pelaburan

Malaysia, Jepun komited perkukuh perdagangan, pelaburan

29 Dis 2022

Malaysia dan Jepun menegaskan komitmen untuk mengukuhkan lagi perdagangan dua hala, pelaburan serta hubungan perniagaan untuk manfaat kedua-dua negara, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini menjelaskan, komitmen itu dinyatakan selepas menteri berkenaan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerima kunjungan rakan sejawatnya, Nishimura Yasutoshi serta delegasi, semalam.

Pertemuan buat julung kalinya yang berlangsung kira-kira sejam itu menyentuh isu-isu utama seperti daya tahan rantaian bekalan, memanfaatkan konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam pelaburan dan industri, serta kemungkinan untuk menjalinkan kerjasama bersama antaranya dalam sektor industri tenaga dan pesawat.

Perbincangan itu turut menumpukan kepada kerjasama ekonomi di pelbagai platform perdagangan bebas seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF).

“Kedua-dua menteri turut membincangkan mengenai penganjuran Dialog Industri Awam-Swasta Malaysia-Jepun di Kuala Lumpur (2023) dan menegaskan komitmen mereka untuk memperkasa kerjasama, seiring dengan peningkatan hubungan dua hala Malaysia-Jepun yang membawa kepada perkongsian strategik komprehensif pada awal tahun ini,” kata MITI.

Menurut kenyataan itu, Tengku Zafrul turut menzahirkan penghargaan kepada Jepun di atas sokongan berterusan terhadap Malaysia setakat ini dan menegaskan komitmen berterusan Malaysia kepada Dasar Pandang ke Timur (LEP) yang menumpukan kepada pengukuhan hubungan dua hala Malaysia-Jepun sejak lebih 40 tahun lalu.

Dalam hal ini, MITI berkata Malaysia akan terus bekerjasama secara strategik dengan Jepun terutamanya dalam bidang seperti ESG, kecerdasan buatan, Internet Pelbagai Benda, robotik, pembuatan pintar dan tenaga boleh baharu.

Mengenai hubungan ASEAN-Jepun, kedua-dua menteri berikrar untuk meneruskan libat urus, terutamanya menjelang ulang tahun ke-50 persahabatan dan kerjasama ASEAN-Jepun pada 2023.

Jepun ialah satu daripada sumber utama pelaburan langsung asing Malaysia dengan pelaburan berjumlah sehingga RM90.9 bilion (AS$27.6 bilion) pada 2021 dan mewujudkan 337,280 pekerjaan.

Negara itu juga adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia pada 2021 dengan perdagangan berjumlah sehingga RM149.76 bilion (AS$36.14 bilion).

MITI berkata, susulan pelancaran Dasar Pelaburan Baharu (NIP) pada Oktober 2022, Tengku Zafrul turut menegaskan komitmen kementerian itu dalam memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan kepada semua pelabur termasuk dari Jepun.

Menyedari peluang besar untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan ekonomi, kedua-dua menteri menyatakan komitmen untuk mengukuhkan momentum positif hubungan dua hala Malaysia-Jepun serta meningkatkan lagi kepentingan ekonomi kedua-dua negara.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon