B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia jadi lokasi paling diingini untuk hab pusat data serantau — MIDA

Malaysia jadi lokasi paling diingini untuk hab pusat data serantau — MIDA

21 Okt 2022

Malaysia masih lagi menjadi lokasi pilihan yang paling diingini di rantau ini untuk hab pusat data, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Wira Arham Abdul Rahman.

Disokong oleh sumber yang banyak, persekitaran yang menggalakkan dan infrastruktur digital yang maju, Malaysia telah berkembang menjadi pasaran yang matang untuk pusat data, kata beliau sempena pembukaan besar-besaran fasa pertama pusat data hiperskala Bridge Data Centres (BDC) di Sedenak, Johor semalam.

“Ini menunjukkan kesediaan negara untuk menjadi hab pusat data serantau,” katanya dalam satu kenyataan bersama oleh MIDA, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan BDC hari ini.

Arham berkata, pembukaan secara besar-besaran itu menandakan kejayaan Malaysia sebagai negara yang berdaya saing dalam menarik pelaburan pusat data.

Beliau berkata, MIDA melalui Pejabat Pelaburan Digital dan Unit Pemecut dan Penyelarasan Projek, sangat menyokong projek itu sejak di peringkat prapelaburan sehinggalah kepada fasa pelaksanaan.

“Kami sangat teruja dan berbesar hati kerana dipilih oleh BDC dan ByteDance System Sdn Bhd sebagai lokasi pilihan mereka untuk penubuhan pusat data hiperskala ini,” tambahnya.

ByteDance System akan menjadi penyewa utama pusat data hiperskala BDC bersama komitmen pelaburan jangka panjang mereka di negara ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, kemudahan baharu itu akan meningkatkan bukan sahaja kependaman dan kecekapan tetapi juga membantu menarik perniagaan dan pelaburan global lain ke negara ini.

Dengan pertumbuhan pesat penyedia perkhidmatan awan dan media digital, BDC mendapat sokongan penuh daripada Bain Capital yang berpangkalan di AS untuk mengembangkan perniagaan pusat data hiperskalanya di rantau Asia Tenggara.

Syarikat itu akan membina lagi pusat data 100 megawatt (MW) dalam tempoh lima tahun akan datang di seluruh Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Fasa pertama pusat data di Sedenak itu adalah yang pertama daripada tiga bangunan dalam projek pusat data hiperskala 110MW yang meliputi kawasan seluas 15.4 hektar.

BDC merupakan salah satu syarikat pusat data terbesar di rantau ini, menyediakan penyelesaian pusat data hiperskala dan borong.

Ia juga merupakan syarikat pertama berstatus Malaysia Digital yang menyiapkan pembinaan dan penyerahan pusat data hiperskala yang sedia digunakan pada 2022.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon