B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia jadi hab pembuatan peralatan 5G Ericsson bagi Asia Pasifik

Malaysia jadi hab pembuatan peralatan 5G Ericsson bagi Asia Pasifik

23 Jul 2022

Malaysia telah dipilih sebagai hab pembuatan bagi peralatan telekomunikasi 5G Ericsson di rantau Asia Pasifik (APAC) yang menghasilkan radio terkini teknologi itu bermula pada suku ketiga 2022.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh David Hägerbro berkata negara ini turut menjadi lokasi pertama di Asia Tenggara yang menghasilkan peralatan 5G bagi pasaran domestik serta serantau.

“Antara faktor bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan serantau adalah kewujudan tenaga mahir serta infrastruktur kukuh yang ditawarkan oleh negara ini.

“Keputusan itu turut memaparkan komitmen jangka panjang Ericsson terhadap Malaysia, termasuk rangkaian 5G yang sedang kami laksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Jumaat, Presiden merangkap CEO Kumpulan Ericsson Borje Ekholm berserta Hägerbro, telah menemui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya bagi perbincangan lanjut mengenai komitmen Ericsson terhadap Malaysia.

Menurut Hägerbro, seiring dengan rancangan pengeluaran tersebut, Ericsson akan meningkatkan lagi pelaburan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di negara ini.

“Bagi melengkapkan lagi hab tersebut, kami turut mewujudkan pusat pengedaran serantau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selain pusat penyelenggaraan dan sokongan di Shah Alam yang membolehkan Ericsson meningkatkan aspek tindak balas dan penyampaian perkhidmatan sokongan untuk pelanggan di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Ericsson juga telah memulakan inisiatif Ericsson Educate – satu kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Digital Nasional Bhd bagi membantu mendidik penuntut Malaysia mengenai 5G serta teknologi baharu lain.

“Kerjasama itu dijangka menjangkau sehingga 1,200 penuntut pada tahun pertama dan seterusnya membolehkan penuntut UTM untuk menyertai dan menyumbang kepada ekonomi digital dan transformasi Industri 4.0 negara ini.

“Malah, Ericsson juga telah menubuhkan pusat inovasi pertama Malaysia bagi tujuan penyelidikan dan pengujian teknologi 5G di UTM pada 2016,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X