Makmal kanser berpusat pertama di Malaysia bakal majukan industri penjagaan kesihatan tempatan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Makmal kanser berpusat pertama di Malaysia bakal majukan industri penjagaan kesihatan tempatan

Makmal kanser berpusat pertama di Malaysia bakal majukan industri penjagaan kesihatan tempatan

22 Jul 2022

Pembukaan makmal onkologi berpusat pertama untuk ujian klinikal di Malaysia, Hematogenix, dijangka meningkatkan lagi nilai industri farmaseutikal dan penjagaan kesihatan tempatan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta perkhidmatan berkaitan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) (Pembangunan Pelaburan) Lim Bee Vian berkata kehadiran Hematogenix di Malaysia turut dijangka menarik lebih banyak ujian klinikal pada peringkat global ke dalam negara.

“Projek ini dengan pelaburan terkini lebih US$9 juta (RM39 juta) berjaya dilaksanakan menerusi dasar pelaburan kita, insentif, pembangunan dan ketersediaan bakat serta pemudah urusan dalam membawa sampel biologi dan mesin.

“Sebagai balasan, saintis dan ahli profesional penjagaan kesihatan kita mendapat manfaat dari Hematogenix dari segi pemindahan pengetahuan dan teknologi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Makmal tersebut yang terletak di Cyberjaya dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini dan disaksikan oleh Lim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Hematogenix Dr Hytham Al-Masri dan Ketua Pegawai Eksekutif Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) Dr Akhmal Yusof.

Hematogenix, sebuah makmal berpusat penyelidikan klinikal antarabangsa mengkhususkan pada onkologi atau kajian kanser dengan pengiktirafan daripada Kolej Ahli Patologi Amerika (CAP) dan Pindaan Penambahbaikan Makmal Klinikal (CLIA), telah beroperasi secara global sejak 2007 dan berada di Malaysia sejak Jun 2021.

Hematogenix beribu pejabat di Chicago, Amerika Syarikat dan mempunyai tiga cawangan di seluruh dunia, meliputi pasaran Eropah di Manchester, United Kingdom; pasaran China di Shanghai; dan terkini pasaran untuk Asia Pasifik di Cyberjaya.

Sementara itu, menurut kenyataan itu Khairy dalam ucapannya menekankan bahawa selain menggalakkan pelaburan secara langsung dari luar negara dan merangsang industri penyelidikan klinikal, kolaborasi antara Hematogenix dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperhebat lebih banyak kerjasama tempatan terutama dalam menyediakan perkhidmatan diognastik berteknologi moden.

Beliau menambah kolaborasi itu akan membawa kepada lebih banyak pertukaran ilmu dan latihan untuk saintis di bawah KKM serta menawarkan faedah secara langsung kepada para pesakit kanser, memandangkan pelbagai ujian untuk biomarker kanser kini boleh didapati dalam negara dengan kadar menunggu yang lebih cepat bagi diagnosis.

Fasiliti tersebut kini beroperasi dengan 40 anggota terlatih dan berkelayakan termasuk ahli patologi, saintis berkelulusan doktor falsafah dan sarjana, ahli teknologi perubatan, ahli bioinformasi dan pembangun perisian.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon