B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia cadang ASEAN, Jepun teroka pegeluaran vaksin di rantau ASEAN

Malaysia cadang ASEAN, Jepun teroka pegeluaran vaksin di rantau ASEAN

27 Okt 2021

Malaysia telah mencadangkan ASEAN dan Jepun meneroka kemungkinan meminjamkan pakar penyelidik mereka ke Pusat Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Baharu ASEAN untuk usaha ke arah pengeluaran vaksin di rantau ini.

Ketika membuat cadangan itu pada Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-24, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata usaha berkenaan akan membantu menangani kekurangan vaksin di rantau ini selain sebagai persiapan menghadapi kemungkinan kemunculan penyakit baharu.

Beliau berkata sumbangan Jepun untuk pusat itu adalah penting dan penubuhannya bertepatan pada masanya bagi membantu negara anggota ASEAN yang sangat memerlukan bantuan untuk mengurangkan kesan COVID-19.

“Memandang ke hadapan, ASEAN dan Jepun perlu meningkatkan kerjasama dalam pelbagai disiplin kesihatan untuk persediaan rapi rantau ini menghadapi kecemasan berkaitan kesihatan pada masa depan ,” katanya ketika berucap pada sidang kemuncak itu, Rabu.

Sidang Kemuncak kali ini turut menyaksikan Perdana Menteri Jepun yang baharu Fumio Kishida membuat penampilan sulungnya sejak dilantik awal bulan ini.

Ismail Sabri berkata Malaysia menghargai sokongan dan sumbangan Jepun terhadap Kerangka Kerja Pelan Pemulihan Komprehensif ASEAN untuk mengurangkan kesan COVID-19 dan sumbangan vaksin Jepun kepada negara anggota ASEAN telah memberi sumbangan yang besar kepada usaha ini.

Menyentuh mengenai keselamatan siber, Ismail Sabri berkata ASEAN dan Jepun perlu mengukuhkan lagi kerjasama melalui Pusat Pembinaan Kapasiti Keselamatan Siber ASEAN-Jepun.

Beliau berkata Malaysia mengharapkan sokongan Jepun dalam pembangunan profesional keselamatan digital dan program pembelajaran sepanjang hayat yang dibangunkan oleh Malaysia yang bertujuan untuk membangunkan pembinaan kapasiti dalam keselamatan siber.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Jepun kerana berjaya menjadi tuan rumah Sukan Olimpik dan Paralimpik 2020 ketika dunia sedang bergelut dengan cabaran akibat COVID-19.

Beliau menambah Jepun kekal sebagai rakan setia ASEAN sejak 1973 dan blok 10 anggota itu menghargai sokongan serta bantuan Jepun selama ini yang telah menyumbang kepada usaha pembinaan komuniti ASEAN.

“Kami berharap untuk perkukuh lagi hubungan dialog ASEAN-Jepun. Malaysia menyambut baik cadangan Jepun untuk menjadi tuan rumah sidang kemuncak khas di Jepun pada 2023, untuk meraikan 50 tahun hubungan dialog,” tambahnya.

Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-24 diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, dianjurkan secara maya selama tiga hari bermula Selasa, dipengerusikan Brunei.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X