Malaysia bakal jadi hab serantau SK Magic
22 Sep 2022
SK Magic Inc, anak syarikat SK Group menyasar untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantaunya di Asia Tenggara menjelang 2028.
Ketua Pegawai Eksekutif SK Magic, Yoon Yo Seop, berkata bagi memastikan sasaran selama lima tahun bermula tahun depan itu tercapai, pihaknya akan terus giat membuat pelaburan setiap tahun di negara ini.
Katanya, pada tahun ini, SK Magic memperuntukkan pelaburan RM140 juta dengan jumlah itu akan meningkat setiap tahun sejajar dengan pengembangan perniagaan syarikat itu di Malaysia.
“Buat masa ini, untuk operasi kami di Malaysia, kumpulan melakukan suntikan modal pada setiap suku tahun dan kami melihat banyak potensi pertumbuhan di sini.
“Rancangan kami adalah untuk membangunkan operasi Malaysia dan menjadikannya sebagai hab serantau serta ibu pejabat untuk pasaran Asia Tenggara.
“Kumpulan juga yakin akan mula mencatatkan keuntungan dalam operasinya pada tahun depan selepas keadaan ekonomi yang semakin bertambah baik sejak pandemik COVID-19 pada 2020,” katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya di Seoul, Korea Selatan.
SK Magic yang beribu pejabat di Seoul ketika ini mempunyai lebih 7,000 kakitangan, termasuk pekerja tidak langsung dan menjana jualan melebihi 1 trilion won (RM3.27 bilion) pada 2020.
Syarikat itu mengeluarkan lebih 1.2 juta produk setahun antaranya penulen air, penulen udara, mesin pencuci pinggan, ketuhar dan ketuhar mikrogelombang.
Ia menubuhkan SK Magic Malaysia pada 2018 dan setakat ini sudah membawa masuk dua produk, iaitu penulen air dan penulen udara untuk pasaran tempatan.
SK Group pula adalah syarikat kedua terbesar di Korea Selatan dari segi aset.
Yo Seop berkata, pihaknya percaya Malaysia mempunyai persekitaran perniagaan dan infrastruktur perniagaan yang amat baik.
“Selain itu, di Asia Tenggara, Malaysia dan Singapura adalah negara berpendapatan tinggi dan kami juga percaya yang rakyat Malaysia mempunyai kuasa membeli yang tinggi dengan sejumlah besar kumpulan pekerja pertengahan dan atas.
“Malah, sebagai negara berbilang kaum, ia mempunyai budaya yang menarik dan kami percaya ia mempunyai potensi kukuh sebagai perniagaan global.
“Kerana itu kami memilih Malaysia sebagai keutamaan pertama kami untuk perniagaan Asia Tenggara kami dan percaya produk inovatif teknologi yang kami ada akan disukai dan diterima oleh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau menambah, kumpulan juga sedia mempertimbangkan untuk menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Malaysia apabila saiz operasi menyamai atau melebihi saiz di Korea.
“Ketika ini, bilangan kakitangan SK Magic di Malaysia adalah kira-kira 2,000 orang, termasuk pekerja tidak langsung.
“Apabila jumlah pekerja di Malaysia sudah mencecah 7,000 orang, kami akan melihat keperluan sama ada perlu atau tidak untuk menubuhkan pusat R&D di Malaysia atau tidak,” katanya tanpa menyatakan sebarang tempoh masa untuk mencapai jumlah berkenaan.
Sumber: Bernama