B. Malaysia

|

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia akan lancar makmal ujian keselamatan siber 5G pertama di Asia Tenggara

Malaysia akan lancar makmal ujian keselamatan siber 5G pertama di Asia Tenggara

22 Feb 2021

Malaysia akan melancarkan Makmal Ujian  Keselamatan SIber 5G pertama di Asia Tenggara – usaha bersama oleh agensi pakar keselamatan siber nasional, CyberSecurity Malaysia (CSM), Huawei Technologies (M) Sdn Bhd dan Celcom Axiata Bhd.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata makmal ujian akan menjadi model keselamatan siber secara menyeluruh yang merangkumi sejumlah senario dan menawarkan perkhidmatan aplikasi mudah alih dan penilaian perkakasan.

“Ia akan merangkumi ekosistem  ujian  5G yang komprehensif yang terdiri daripada teknologi seperti rangkaian akses radio 5G (RAN), rangkaian Edge dan juga aplikasi cloud.

“Makmal ujian juga  menjalankan  kes ujian termasuk keselamatan Interner Pelbagai Perkara  (IoT), keselamatan telekomunikasi dan melihat  bagaimana untuk meningkatkan kesediaan untuk bertindak balas terhadap serangan siber yang berkaitan dengan 5G,” katanya dalam ucapan maya pada forum yang dihoskan oleh Huawei bersama-sama dengan Mobile World Congress 2021 (MWC21) di Shanghai, China.

Saifuddin  berkata  perkara yang melibatkan  Internet, kesalinghubungan, data, pembangunan kapasiti,  pembangunan, e-perniagaan, dan keselamatan  siber, kerajaan  Malaysia melihatnya daripada  pendekatan holistik dan ia adalah daripada platform nasional iaitu Agenda Digital Nasional dan  Majlis  Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini bukan yang terbaik tetapi saya berpendapat  ini adalah  langkah ke hadapan, mungkin ada antara anda yang mengenali Koridor Raya Multimedia (MSC) versi Malaysia,” kata Saifuddin.

Beliau berkata MSC dibentuk 25 tahun lepas dan sekarang kerajaan sedang melihat versi MSC yang baharu.

“Ia mungkin akan dinamakan sebagai MSC 2.0 tetapi yang lebih penting, kami memiliki platform nasional, dan ia merujuk kepada Digital Nasional dan 4IR,” katanya.

“Kami berharap kami dapat menyatukan kerja kami dengan lebih baik dan juga melancarkan semua aktiviti kami dengan cara yang terbaik,” kata Saifuddin.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X