B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malakoff perlu RM1.23 bilion bina loji hidroelektrik di Kelantan

Malakoff perlu RM1.23 bilion bina loji hidroelektrik di Kelantan

22 Mac 2023

Malakoff Corporation Bhd (Malakoff) dijangka membelanjakan RM1.23 bilion bagi membangun, memiliki, mengendali dan menyelenggara tiga loji tenaga hidroelektrik boleh diperbaharui (REPPA) di Kuala Krai, Kelantan.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Sean Lim, berkata perbelanjaan modal yang diperuntukkan Malakoff bagi ketiga-tiga projek di Kelantan dimeterai dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk tempoh 21 tahun.

“Tarikh operasi komersial (COD) sasaran dijadualkan pada pertengahan Disember 2025. Kami diberi bayangan bahawa anggaran jumlah perberlanjaan modal yang diperlukan ialah RM1.23 bilion, iaitu kira-kira RM14.6 juta bagi setiap megawatt.

“Jumlah ini dilihat mahal, mungkin atas pelbagai sebab, iaitu reka bentuk, teknologi, lokasi, akses kepada grid nasional dan lain-lain. Walaupun tarif tidak didedahkan, kami juga diberi bayangan bahawa kadar pulangan dalaman (IRR) projek dianggarkan pada angka tunggal tinggi manakala tarif pula serupa dengan projek hidro lain.

“Kemudahan RE ini akan dibiayai dengan struktur kewangan berbanding ekuiti pada nisbah 80:20. Melalui struktur ini, Sukuk Wakalah SRI Hijau ASEAN akan diterbitkan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Lim berkata, Malakoff memeterai surat hasrat (HOA) bersama Rising Promenade (RPSB), RP Hydro (Kelantan) (RPHK), dan Rising O&M Engineering Services (ROMES) untuk membangun, memiliki, mengendali dan menyelenggara tiga loji tenaga hidroelektrik boleh baharu (RE) di Kuala Krai itu.

Katanya, tiga loji kuasa hidro kecil atau SHP ini iaitu Kemubu (29MW), Kuala Geris (25MW), dan Serasa SHP (30MW), mempunyai gabungan kapasiti terpasang sebanyak 84MW.

“Susulan beberapa HOA yang dijangka akan selesai dalam tiga bulan akan datang, Malakoff akan memiliki 70 peratus daripada saham biasa dalam RPHK dan syarikat operasi & penyelenggaraan ROMES. Ia juga akan menyuntik RM250 juta secara berperingkat kepada RPHK untuk saham keutamaan,” katanya.

RHB Investment Bank mengekalkan saranan ‘beli’ saham Malakoff dengan harga sasaran 86 sen, dengan potensi kenaikan 28 peratus dengan kadar hasil dividen kira-kira 8.0 peratus bagi tahun kewangan 2023.

“Kami optimis terhadap potensi pembangunan tiga loji kuasa hidro di Kelantan yang mempunyai gabungan kapasiti terpasang sebanyak 84MW, kerana perkara ini akan meningkatkan portfolio boleh baharu bersih Malakoff menjadi kira-kira 100MW, sejajar dengan sasaran jangka panjangnya iaitu 1,400MW menjelang 2031.

“Penilaian awal kami menunjukkan impak untung selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) purata sebanyak RM30 juta hingga RM35 juta setahun dan menilaikan projek ini pada dua sen sesaham.

“Risiko negatif adalah gangguan loji lebih kerap daripada yang dijangka dan belanja mengurus lebih tinggi berbanding jangkaan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon