B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


AMD sedia kemudahan serba canggih di Pulau Pinang

AMD sedia kemudahan serba canggih di Pulau Pinang

23 Mac 2023

AMD Global Services (M) Sdn Bhd akan mengembangkan perkhidmatan perniagaan global (GBS) serta keupayaan kejuruteraannya melalui ruang pejabat dan fasiliti makmal baharu yang serba canggih di Pulau Pinang.

Naib Presiden Eksekutif AMD, Datuk Devinder Kumar, berkata Pulau Pinang telah memainkan peranan penting dalam ekosistem semikonduktor di peringkat global serta dalam operasi pemasangan dan ujian bagi produk teknologi kepimpinan AMD selama lebih dari 50 tahun.

“Fasiliti baharu di Bayan Lepas akan meningkatkan jumlah pekerja termasuk keupayaan kami untuk menyokong pertumbuhan merentasi perkhidmatan perniagaan global dan kepakaran kejuruteraan kami.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan InvestPenang bagi menandakan satu lagi pencapaian penting dalam urusan perniagaan kami yang telah lama bertapak di Malaysia,” katanya semasa pengumuman pelaburan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di sini, hari ini.

Devinder berkata, melalui pelaburan ini dan dengan sokongan berterusan daripada kerajaan Pulau Pinang, AMD kekal komited untuk memacu inovasi di Pulau Pinang bagi melahirkan keupayaan baharu yang akan memajukan penyelidikan saintifik, pusat data serta komunikasi.

Pada Jun tahun lalu, pembekal dan rakan kongsi AMD, TF AMD Microelectronics Sdn Bhd, mengumumkan pelaburan RM2 bilion untuk kemudahan pembuatan baharu di Pulau Pinang.

Sementara itu, Kon Yeow berkata pengembangan AMD akan ditempatkan di GBS by the Sea, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bernilai RM200 juta di Bayan Lepas.

Beliau berkata, GBS by the Sea dijangka siap menjelang 2024, ia akan terdiri daripada bangunan pejabat sembilan tingkat dan tempat letak kereta enam tingkat dengan ruang lantai boleh disewa bersih kira-kira 300,000 kaki persegi.

AMD Global Services akan mengambil kira-kira 70 peratus daripada ruang bangunan atau kira-kira 209,000 kaki persegi.

AMD Malaysia ditubuhkan pada 1972 dengan fasiliti pembuatan pertamanya di Pulau Pinang, sejak itu, ia telah berkembang kepada lebih daripada 800 pekerja yang merangkumi dua kemudahan Perkhidmatan Perkongsian Global di Pulau Pinang dan Cyberjaya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon