B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Majoriti perniagaan sedia ‘hidup’ bersama COVID-19

Majoriti perniagaan sedia ‘hidup’ bersama COVID-19

23 Mac 2022

Majoriti perniagaan Malaysia bersedia untuk ‘hidup’ dengan COVID-19 dan mengutamakan penggunaan teknologi dalam jangka masa terdekat, demikian mengikut hasil kaji selidik terkini EY.

Hasil kaji selidik membabitkan lebih 500 syarikat yang merangkumi syarikat besar dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) itu mendapati, 86 peratus responden bersedia untuk ‘hidup’ dengan COVID-19.

Sementara itu, 77 peratus responden akan mengutamakan penggunaan teknologi dalam jangka terdekat kerana mempercepatkan penyesuaian mereka kepada norma baharu.

Rakan Pengurusan Malaysia Ernst & Young PLT, Datuk Abdul Rauf Rashid, berkata walaupun dua tahun menghadapi keadaan yang mencabar, perniagaan tetap fokus untuk membina daya tahan.

“Namun, mereka perlu terus berkembang untuk meraih peluang menuju ke depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kajian Perniagaan: Hidup dengan COVID-19 dan menang bersama, yang diterbitkan EY bertujuan menilai kesediaan perniagaan syarikat Malaysia dalam norma baharu itu juga mendedahkan bahawa 43 peratus daripada responden optimis terhadap pemulihan perniagaan ke paras pra-pandemik dalam tempoh satu hingga dua tahun.

Ia akan lebih memberangsangkan apabila Malaysia memasuki fasa endemik pada 1 April 2022.

Syarikat besar dan PMKS memberi maklum balas positif terhadap teknologi dengan masing-masing mencatatkan 48 peratus dan 37 peratus.

Sekatan pergerakan menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik COVID-19 mempercepatkan penggunaan teknologi oleh syarikat dan peralihan mereka kepada persekitaran kerja yang dipacu secara digital.

Sebaliknya, responden mengalami lebih banyak kesan negatif dalam bidang kewangan (44 peratus syarikat besar; 63 peratus PMKS) dan rantaian bekalan (54 peratus syarikat besar; 44 peratus PMKS).

Ketua Perunding Asean EY dan Rakan Urusan Perunding Malaysia, Ernst & Young Consulting Sdn Bhd, Chow Sang Hoe, berkata, walaupun syarikat besar mempunyai akses lebih baik kepada teknologi dan bakat, keadaan yang mencabar memerlukan ketangkasan organisasi untuk mengharungi gangguan, menangani jurang semasa dan mempercepatkan langkah untuk membina daya tahan.

Mengenai kemahiran semula pekerja dan pendigitalan, dalam jangka pendek, 85 peratus responden mengutamakan penambahbaikan keselamatan pekerja dan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) termasuk pengaturan kerja fleksibel.

Manakala, 77 peratus tertumpu pada peningkatan pendigitalan untuk memudahkan infrastruktur IT tanpa sentuhan.

Melangkah ke hadapan, keutamaan perniagaan utama adalah kepada kemahiran semula (74 peratus) dan menerima pakai pendigitalan (74 peratus).

Pada masa sama, sebahagian besar PMKS memberi perhatian yang lebih besar untuk menyesuaikan semula saiz perniagaan, menukar model perniagaan atau menceburi perniagaan baharu (58 peratus) dan menambah baik kedudukan kewangan mereka (48 peratus).

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon