B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Mah Sing mula keluar sarung tangan bulan depan

Mah Sing mula keluar sarung tangan bulan depan

22 Apr 2021

Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) berada dalam landasan untuk menjadi lima pengeluar sarung tangan utama di Malaysia dengan bermulanya operasi kilang pengeluaran sarung tangan pertamanya di Kapar, Selangor bulan depan.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata Fasa 1 kilang pengeluaran sarung tangan itu akan mempunyai 12 barisan pengeluaran, dengan enam barisan pertama siap pada suku kedua tahun ini dan baki enam lagi barisan pengeluaran disasarkan beroperasi suku ketiga 2021.

Beliau berkata, keseluruhan 12 barisan pengeluaran itu mempunyai kelajuan tinggi yang mana setiap satunya mampu mengeluarkan 38,000 sarung tangan sejam.

Katanya, Mah Sing mempunyai kapasiti maksimum pengeluaran bagi Fasa 1 sehingga 3.68 bilion sarung tangan setahun.

“Kilang kami sangat berautomasi dengan barisan pengeluaran dilengkapi mesin dan jentera automatik.

“Digabungkan dengan sistem Perancangan Sumber Enterpris (ERP) dan sistem Pengambilalihan Data dan Kawalan Pemantauan (SCADA), ia akan menyokong dan memacu operasi kilang untuk mencapai kecekapan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan media sempena selesainya ujian dan operasi dua barisan pertama pengeluaran sarung tangan getah di sini, hari ini.

Hoy Kum berkata, tempahan sarung tangan keluarannya adalah kukuh dan penghantaran pertama sarung tangan akan bermula seawal bulan depan.

Beliau berkata, pembeli adalah dari luar negara antaranya Eropah, China, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Asia Barat, Jepun, United Kingdom (UK), Singapura dan Korea.

Menuju ke depan, Hoy Kum berkata, Mah Sing akan meneruskan pengembangan kemudahan pengeluaran sarung tangannya bagi Fasa 2 jika permintaan sarung tangan terus melebihi bekalan Fasa 1.

Beliau berkata, Mah Sing meninjau untuk menyenaraikan bahagian penjagaan kesihatan dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memberi lebih nilai kepada pemegang sahamnya.

Katanya, Mah Sing juga akan terus melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan meninjau lebih banyak ciri automasi untuk meningkatkan lagi kecekapan kilang pengeluarannya pada masa depan.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon