B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Madewings rancang buka kilang pelitup muka pertama di Malaysia

Madewings rancang buka kilang pelitup muka pertama di Malaysia

24 Feb 2021

Madewings Malaysia Sdn Bhd (Madewings) akan membuka kilang pembuatan pelitup muka berkualiti tinggi yang pertama di Malaysia bagi memenuhi keperluan semasa negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Zaimy Asrul Abd Razak, berkata pihaknya sedang memperincikan pelbagai berkaitan perlesananan, nilai pelaburan, pemindahan teknologi dan sebagainya yang dijangka selesai menjelang hujung tahun ini.

“Kilang ini akan memberi fokus kepada penghasilan pelitup muka jenis ‘flat mask’, ‘fold flat KN95’ dan ‘cup type KN95’, kesemuanya dihasilkan mengikut standard piawaian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Setakat ini kita sudah mendapat kelulusan daripada ibu pejabat iaitu Madewings Medical Tech Group dan proses seterusnya sedang dijalankan.

“Pembukaan kilang ini juga akan menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan sekaligus membantu mereka mendepani cabaran akibat pandemik COVID-19,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Sumbangan 100,000 pelitup muka jenis KN95 kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan termasuk orang ramai yang memerlukan.

Mohamad Zaimy berkata, produk yang dihasilkan itu adalah untuk pasaran terbuka termasuk bagi kegunaan hospital dan klinik.

Sementara itu, Mohd Rashid berkata pembukaan kilang itu merupakan satu kejayaan bukan sahaja kepada syarikat terbabit bahkan petanda baik bagi negara dalam usaha untuk menarik masuk pelabur asing.

“Penggunaan pelitup muka pada hari ini sudah diwajibkan, justeru kita harus pastikan pelitup muka yang digunakan adalah jenis yang berkualiti sebab apa yang penting adalah ia berfungsi dengan baik untuk menutup rongga mulut dan hidung bagi mengelakkan jangkitan COVID-19,” katanya.

Madewings Malaysia Sdn Bhd adalah anak syarikat Madewings Medical Tech Group yang berpangkalan di Guangzhou, China.

Syarikat itu mempunyai kepakaran dalam pembuatan kit perlindungan muka dan respiratori dengan mencatatkan jualan kira-kira AS$431 juta tahun lalu.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon