B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


KKSB tandatangani MoU dengan ADL Solar, bangunkan ladang solar di Selangor

KKSB tandatangani MoU dengan ADL Solar, bangunkan ladang solar di Selangor

14 Dis 2022

Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan penyedia perkhidmatan tenaga solar ADL Solar Sdn Bhd hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam pembangunan ladang solar di beberapa kawasan bekas lombong di Selangor bagi penjanaan elektrik.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Jabatan Penyelidikan dan Pemasaran KSSB, Mohd Nizam Mohd Ishak dan Pengarah Urusan Kumpulan ADL Datuk Kong Yeng Kin, di sini pada Selasa. Turut hadir Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Hasrolnizam Shaari.

Mohd Nizam dan Hasrolnizam berada di sini untuk melihat sendiri ladang solar terapung milik ADL yang mampu menjana tenaga elektrik untuk menampung kegunaan hampir 15,000 isi rumah menggunakan lebih 36,000 panel suria dengan kos RM55 juta.

Hasrolnizam berkata lawatan beliau pada Selasa antara lain bagi memastikan kebolehlaksanaan pembangunan ladang solar terapung di negeri Selangor pada tahun hadapan.

“Projek usaha sama ini telah dirangka melibatkan kos sebanyak RM200 juta akan dibangunkan di kawasan seluas 105 hektar dan bakal menjadi perintis projek ladang solar terapung terbesar dalam negara yang menggunakan kepakaran serta teknologi anak tempatan.

Pembangunan ladang solar terapung dengan kapasiti 50 megawatt itu akan dibangunkan secara berfasa dan beberapa kawasan seperti di Bestari Jaya, Serendah dan Dengkil,” katanya.

Sementara itu, Kong berkata projek perintis ladang solar di Perak itu dilaksanakan di dalam kawasan bekas lombong berkeluasan 12 hektar pada Mac 2021 dan siap pada September 2021.

“Projek ini boleh menjana tenaga elektrik pada kadar 15 megawatt yang disalurkan kepada Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Pantai Remis sebagai sumber tenaga baharu, ” katanya ketika ditemui selepas lawatan tapak di kawasan projek itu semalam.

Kong berkata kejayaan projek di Manjung itu menggunakan kepakaran serta teknologi anak tempatan telah menarik minat KSSB untuk membawa teknologi projek berkenaan ke Selangor.

“Apa yang pasti 60 peratus hasil yang dapat dilihat hari ini adalah kepakaran warga tempatan meliputi pembuatan kabel, pemasangan dan penyelenggaraan manakala kita hanya import panel suria dari luar negara.

Memang ada banyak projek solar terapung yang sedang diusahakan namun ia dijana menggunakan kepakaran dari luar negara tetapi kami merintis sebagai syarikat tempatan yang berjaya melakukannya,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon