B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


KHTP kawasan taman perindustrian pertama dilengkapi 5G di Kedah

KHTP kawasan taman perindustrian pertama dilengkapi 5G di Kedah

13 Dis 2022

 Kulim Hi-Tech Park (KHTP) menjadi kawasan taman perindustrian pertama di negeri ini yang dilengkapi dengan rangkaian teknologi jaringan tanpa wayar Generasi Kelima (5G).

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah Datuk Romani Wan Salin berkata sebanyak lapan lokasi dikenal pasti di KHTP, setakat ini empat lokasi sudah diaktifkan dengan kemudahan itu manakala selebihnya dijangka beroperasi menjelang suku pertama tahun depan.

“Rangkaian 5G di Kedah pada awalnya dirangka untuk dilaksanakan pada tahun 2023 sehingga 2025 namun telah dipercepatkan pelaksanaannya di kawasan perindustrian KHTP bagi merevolusikan pelbagai bidang industri.

“Lapan lokasi di KHTP membabitkan tujuh menara sedia ada dan satu menara yang akan dibina, kesemua lokasi yang dikenal pasti adalah mencukupi untuk menampung liputan 5G di keseluruhan kawasan KHTP seluas 1,916.6 hektar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran rangkaian 5G di KHTP Business Centre di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kulim Teknology Park Corporation Sdn Bhd Datuk Mohd Sahil Zabidi, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Kedah Mazlan Othman dan Ketua Pengurusan Perkongsian Digital Nasional Bhd Abdul Manan Abd Malik.

Romani berkata secara keseluruhannya terdapat 376 lokasi untuk dilengkapkan kemudahan 5G yang telah dikenal pasti membabitkan 12 daerah di Kedah dan kebanyakkannya tertumpu di kawasan perindustrian berteknologi tinggi.

“Lokasi paling banyak ialah di daerah Kuala Muda iaitu membabitkan 115 tapak diikuti Alor Setar (88), Kulim (52), Kubang Pasu (48), Langkawi (44), Yan (12), Baling (8), Bandar Baharu (4), Pendang (2), Pokok Sena (2) dan Sik (1).

“Pelaksanaan projek ini telah bermula pada suku ketiga tahun ini, selepas siap sepenuhnya menjelang 2025 ia dijangka turut memanfaatkan lebih dua juta penduduk di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata KHTP yang dikenali sebagai taman perindustrian berteknologi tinggi menempatkan pelabur-pelabur multinasional dari seluruh dunia dengan nilai pelaburan berjumlah RM125 bilion, justeru rangkaian 5G ini akan menjadi nilai tambah kepada taman perindustrian tersebut.

Dalam perkembangan sama, Mohd Sahil pula berkata pelaksanaan rangkaian 5G di KHTP dapat dipercepatkan di situ memandangkan kemudahan sedia ada sudah lengkap.

“Fiber optik dan menara milik syarikat telekomunikasi sudah ada, kita gunakan menara sedia ada, manakala daripada segi pengambilan tanah, kebanyakan tanah dimiliki oleh KHTP dan kita minta kerjasama daripada semua yang terbabit untuk memudahkan pelaksanaan rangkaian 5G ini di sini,” katanya.

Rangkaian 5G merupakan kemudahan yang memberi kesan langsung kepada proses pengeluaran dan produktiviti syarikat yang beroperasi di situ selain dapat menarik kehadiran pelabur baharu kerana ramai pelabur yang berminat dengan KHTP, katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon