B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kilang RM2 bilion TF AMD siap tahun depan

Kilang RM2 bilion TF AMD siap tahun depan

14 Jun 2022

Syarikat semikonduktor, TF AMD Microelectronics (Penang) Sdn Bhd menjangkakan kilang pembuatannya bernilai RM2 bilion di Pulau Pinang akan siap pada suku pertama tahun depan.

Pengarah Urusan merangkap Naib Presiden Korporatnya, Neoh Soon Ee, berkata kilang baharu di Taman Perindustrian Batu Kawan itu adalah yang kedua di negeri itu dan dijangka mewujudkan lebih daripada 3,000 pekerjaan baharu dalam bidang kejuruteraan semikonduktor maju, reka bentuk dan teknologi pemprosesan bagi penyelesaian pengkomputeran berprestasi tinggi.

“Kemudahan baharu seluas 1.5 juta kaki persegi (0.139 juta meter persegi) dan di kawasan kira-kira 14 ekar (5.66 hektar) itu akan mengeluarkan teknologi litar bersepadu serba maju.

“Apabila siap kelak, ini akan menjadikan kapasiti pembuatan syarikat secara keseluruhannya mencecah lebih 2.3 juta kaki persegi (0.21 juta meter persegi),” katanya pada sidang media selepas mengumumkan rancangan pelaburan itu di sini, hari ini.

TF AMD Microelectronics adalah sebuah syarikat usaha sama yang ditubuhkan pada 2016 oleh syarikat China, TongFu Microelectronics dan Advanced Micro Devices Inc (AMD) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif, Ketua Pegawai Kewangan dan Bendahari AMD, Datuk Devinder Kumar, berkata AMD telah mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dalam tempoh beberapa tahun ini.

Malah, katanya, TF-AMD telah berperanan penting sebagai pembekal strategik dan rakan kongsi dalam menyokong pertumbuhan syarikat itu.

Mengulas masalah kekurangan bekalan cip di peringkat global, beliau berkata ini menyebabkan kesukaran menampung permintaan, khususnya melibatkan pengkomputeran maju yang turut disertai oleh AMD.

“Permintaan masih kukuh kerana keperluan bagi pengkomputeran global terus berkembang. Saya berharap pelaburan kami ini sedikit sebanyak dapat membantu dari segi bekalan itu dan dapat selesai dalam tempoh setahun atau sekurang-kurangnya dua tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman, berkata Malaysia masih kekal sebagai destinasi pelaburan bagi pembuatan bernilai tinggi serta perkhidmatan global di Asia.

Menurutnya, keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia juga terus berkembang berikutan negara ini kekal sebagai antara ekosistem paling komprehensif di rantau ini serta bagi industri elektrikal dan elektronik (E&E) dan jentera dan peralatan (M&E), sekali gus menjadikannya sebagai tapak tunggal terbesar pilihan bagi firma-firma semikonduktor luar pesisir.

“Kami akan mengumumkan prestasi pelaburan suku pertama bagi Malaysia dalam beberapa hari lagi. Ia membabitkan angka yang baik, khususnya bagi sektor E&E.

“Namun, sukar sebenarnya untuk mencapai angka menyamai suku sama tahun lepas yang menyaksikan kami meluluskan projek besar bernilai RM42.2 bilion,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan CEO InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon