B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan teroka potensi teknologi hijau – Muhyiddin

Kerajaan teroka potensi teknologi hijau – Muhyiddin

22 Jul 2021

Kerajaan mengenal pasti potensi teknologi hijau sebagai antara teras bagi mempercepatkan ekonomi serta menggalakkan pembangunan lestari, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mahu meneroka teknologi berkenaan termasuk potensi peranan hidrogen dalam campuran tenaga negara dan sumbangannya kepada pembangunan semula ekonomi negara.

Beliau berkata, pandemik COVID-19 ketika ini memberi dorongan baharu untuk memainkan peranan dalam agenda kelestarian.

Dalam melangkah ke hadapan, beliau turut gembira apabila Persidangan dan Pameran Antarabangsa Greentech dan Produk Eko Malaysia (IGEM) akan menganjurkan ‘The Strategic Lab-Visioning a Hydrogen Economy for Malaysia’.

“Penganjuran ini bagi meneroka potensi peranan hidrogen dalam campuran tenaga negara dan bagaimana ia dapat menyumbang untuk membina semula ekonomi kita. Sesi ini akan diketuai oleh barisan panel terdiri daripada pakar dari dalam dan luar negara.

“Kita mengalu-alukan usaha syarikat Malaysia untuk menjalin kerjasama mengenai teknologi dan perkongsian pengetahuan dalam ekosistem hidrogen, pengkomersialan dan teknologi hijau.”

“Syarikat ini komited untuk melabur secara aktif dalam projek hidrogen hijau dan penyampaian tenaga boleh diperbaharui, ekonomi kitaran dan mobiliti karbon yang rendah,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis pelancaran IGEM 2021 secara maya hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

IGEM yang dianjurkan secara maya di www.igem.my antara 1 Julai hingga 31 Disember ini bakal menampilkan hampir 300 pempamer dari 50 negara dan dijangka menarik kunjungan 30,000 pelawat.

Ia dijangka mampu menjana lebih RM5 bilion potensi pelaburan biarpun diadakan secara maya tahun ini.

Acara enam bulan itu akan mengetengahkan tema daripada pelbagai aspek industri mampan bermula dengan tema Teknologi Hijau (Julai), Air (Ogos), Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (September), Kemampanan (Oktober), Pembiayaan Hijau (November) dan Tenaga dan e-Mobiliti (Disember).

Setiap tema bulanan itu akan dilengkapi dengan acara persidangan dan aktiviti serta maklumat terkini berkaitan sektor terbabit, hasil daripada perkongsian pakar industri.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan akan terus menerapkan pendekatan menyeluruh untuk memastikan dasarnya adalah jelas dan kondusif untuk pembangunan ekonomi yang mampan.

“Adalah penting bagi kita kekal tangkas dengan berlibaturus dengan semua pemain industri dan pihak berkepentingan untuk menyampaikan ‘kesihatan planet’ (planetary health) dengan lebih baik dalam jangka panjang,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, ‘Pentakrifan Semula Kelestarian’ (Redefining Sustainability) dipilih sebagai tema untuk IGEM 2021 yang mana fokusnya adalah mengenai perubahan iklim dan teknologi hijau dalam menangani impak pandemik COVID-19.

“Kita perlu mencari jalan secara kolektif untuk meraih kesejahteraan ekonomi dan sosial secara mesra alam. Kita yakin IGEM sesuai dengan tujuan ini sebagai pemangkin penting untuk mengemudikan jalan kita ke hadapan.

“Pentakrifan semula kelestarian ini memberi peluang kepada institusi kerajaan menilai kembali strateginya untuk menghidupkan kembali ekonomi, memelihara alam sekitar dan membawa kestabilan sosial kepada cabaran iklim.

“Apabila munculnya industri hijau yang memerlukan inovasi, produk dan perkhidmatan baharu untuk memenuhi permintaan pengguna, tema ini juga diterjemahkan kepada peluang baharu dan menjangkaui pasaran yang masih belum dimanfaatkan oleh perniagaan. Oleh itu, pemain industri harus melihat secara holistik ke dalam rantaian nilai dalam memacu agenda ekonomi hijau,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon