B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


COVID-19: Nestle Malaysia sedia kongsi amalan terbaik industri

COVID-19: Nestle Malaysia sedia kongsi amalan terbaik industri

15 Jul 2021

Nestlé Malaysia sedia berkongsi amalan terbaik industri dengan rakan pengeluar dan mereka yang berminat bagi mengurangkan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja industri.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Juan Aranols berkata tawaran untuk berkongsi amalan terbaik industri itu adalah selepas syarikat pemakanan berkhasiat, kesihatan dan kesejahteraan berkenaan mencapai kadar positif yang konsisten di bawah 0.1 peratus daripada keseluruhan pekerja yang mencecah 4,500 orang di negara ini.

“Prosedur saringan kami membolehkan pengesanan awal sebelum kes positif terkena pada pekerja di kilang kami,” katanya pada taklimat media selepas melakukan lawatan ke kilangnya, yang menjadi tumpuan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam penglibatan dengan industri, di sini hari ini.

“Kami tidak bercakap bagi pihak industri, tetapi daripada apa yang telah kami lakukan dan hasil yang berkesan yang telah kami tunjukkan kepada anda, kami berpendapat bahawa saringan sangat penting.

“Di Shah Alam, kami mempunyai tiga kilang: Kompleks Shah Alam, Batu Tiga dan Sri Muda, dan Pusat Pengedaran Nestlé dengan jumlah pekerja 3,000 orang.

“Setiap hari, 1,500 hingga 2,500 pekerja melakukan sekurang-kurangnya satu ujian calitan setiap minggu. Bergantung pada penilaian risiko seseorang, mereka disaring lebih dari sekali seminggu, bahkan setiap hari,” katanya.

Aranols berkata syarikat itu, yang kebanyakan pekerjanya rakyat Malaysia, mempunyai kontraktor yang menggaji pekerja asing tetapi mereka harus mematuhi syaratsyarat ketat yang betul bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.

“Kami memeriksa keadaan tempat tinggal pekerja dan mereka berada dalam keadaan yang sepatutnya.

“Jika tidak, mereka akan dijangkiti dan ini akan memberi kesan kepada operasi kami, jadi kami perlu bertanggungjawab untuk keseluruhan rantaian bekalan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif itu juga berkata bahawa adalah penting untuk menjaga keselamatan pekerja dan pada masa yang sama, terus beroperasi agar produk makanannya dapat dipasarkan kepada masyarakat.

“Ini adalah tahun yang sukar. Kita harus lakukan ini dan kita semua mempunyai tanggungjawab untuk membendung virus tersebut.

“Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) adalah program penting yang membolehkan semua orang diberi vaksin,” katanya.

Objektif program awam-swasta ini adalah bagi  membantu usaha kerajaan mempercepatkan vaksinasi untuk rakyat dan mencapai imuniti kelompok dengan meningkatkan pengambilan vaksin dalam kalangan pekerja Malaysia dan mengurangkan jumlah kluster COVID-19 di tempat kerja.

Aranols menyatakan bahawa PIKAS adalah satu-satunya jalan keluar untuk mengatasi COVID-19 dan inisiatif ini akan melindungi kesejahteraan pekerja dan seterusnya membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia. Menurut syarikat itu, dari awal tahun ini hingga 13 Julai, Nestlé Malaysia telah melakukan lebih daripada 300,000 ujian COVID-19 dan telah menghabiskan sekitar RM100 juta untuk langkah-langkah kawalan yang berkaitan dengan pandemik itu sejak ia bermula pada Februari-Mac 2020.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon