B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan sasar pertumbuhan FDI, DDI 20 peratus tahun ini

Kerajaan sasar pertumbuhan FDI, DDI 20 peratus tahun ini

08 Mac 2023

Kerajaan menyasarkan pertumbuhan sebanyak 20 peratus untuk pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) pada tahun ini, masing-masing meningkat daripada RM163.3 bilion dan RM101.3 bilion dicatatkan pada 2022.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, walaupun ini sukar berdasarkan cabaran, pelaburan lebih bersifat jangka panjang dan syarikat yang melihat Malaysia akan melihat kepada tempoh yang lebih lama.

“Bagi menarik pelaburan ke Malaysia, apa yang penting ialah meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di negara ini, kumpulan tenaga kerja, infrastruktur (fizikal dan digital) serta tadbir urus.

“Apa yang penting ialah mengekalkan momentum dan memberi tumpuan kepada sektor dan industri yang betul. Hasil yang kami mahukan bukan sahaja kesan pengganda kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi turut mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi,” katanya pada sesi panel pada Invest Malaysia 2023 di sini hari ini.

Malaysia meluluskan jumlah pelaburan bernilai RM264.6 bilion pada 2022, jumlah kedua terbesar yang pernah dicatatkan selepas 2021, dengan sektor perkhidmatan menyumbang bahagian terbesar daripada keseluruhan, diikuti sektor pembuatan dan utama.

Sektor perkhidmatan menyaksikan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM154 bilion atau 58.2 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun ini.

Pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan berjumlah RM84.3 bilion (31.9 peratus) dan sektor utama sebanyak RM26.3 bilion (9.9 peratus).

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, sebab utama Tesla melabur di Malaysia ialah sektor elektrik dan elektronik (E&E) negara yang kukuh, apabila beberapa syarikat tempatan telah menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan Tesla pada masa ini.

“Mereka (Tesla) bukan sahaja mewujudkan pejabat mereka di sini. Mereka turut mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam sektor ini,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan produktiviti dan bagaimana pelaburan baharu perlu menyumbang kepada produktiviti, sekali gus menyumbang kepada upah yang lebih tinggi.

“Ini adalah kunci untuk menaikkan tahap pendapatan rakyat. Ia adalah perjalanan yang panjang, dan dalam memudahkan menjalankan perniagaan, kita perlu memastikan apabila syarikat tempatan atau syarikat asing ingin memulakan perniagaan, wujud ‘kemudahan’ kerana, pada akhirnya, ia adalah mengenai produktiviti,” katanya.

Pada masa ini, katanya kadar produktiviti Malaysia masih positif, tetapi pertumbuhannya tidak secepat beberapa negara lain.

“Terdapat kebimbangan bahawa kadar produktiviti kita, walaupun dalam istilah mutlak lebih tinggi daripada beberapa negara jiran kita, dari segi pertumbuhan produktiviti, kita perlahan berbanding negara-negara jiran kita. Oleh itu, jurang adalah mengecil.

“Kami perlu memastikan bahawa kemudahan menjalankan perniagaan adalah antara bidang yang kami beri tumpuan,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, Malaysia perlu mengukuhkan pelaburan awal yang masuk, seperti daripada syarikat permulaan atau PKS yang merupakan sebahagian daripada pelaburan asing dan industri kewangan perlu memainkan peranannya dalam menyediakan dana penyambung ini.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (turut) menghasilkan rangka kerja untuk sektor pembuatan, terutamanya PKS, untuk menerima pakai alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam operasi mereka. Rangka kerja itu akan diumumkan pada awal 2024,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon