B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan Negeri Sembilan teroka pelaburan menerusi webinar pelaburan

Kerajaan Negeri Sembilan teroka pelaburan menerusi webinar pelaburan

19 Mac 2021

Kerajaan Negeri Sembilan dalam usaha meneroka pelaburan berkualiti untuk meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi Webinar Pelaburan dan Program Misi Perdagangan yang akan diadakan secara maya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata Webinar Pelaburan itu menampilkan tokoh korporat, Pengerusi Bursa Malaysia merangkap Penasihat NS Corporation, Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai moderator pada program itu, Selasa depan.

“Webinar ini akan memberi pendedahan kepada pelabur dan masyarakat berhubung perniagaan dalam keadaan kebiasaan baharu. Keadaan sekarang adalah berbeza…berniaga secara fizikal mungkin lebih sukar bagi mereka yang menggunakan platform digital ataupun secara maya.

“Kami akan membincangkan mengenai persekitaran perniagaan pasca pandemik COVID-19 dan kemudian mendedahkan potensi perniagaan di Malaysia khususnya di Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media Promosi Webinar Pelaburan di sini, hari ini.

Mohamad Rafie berkata antara yang menyertai sesi webinar itu ialah Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Berhad Datuk Azmir Merican, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Ahmad Khairuddin, dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

Pelaburan berkualiti dapat mengalakkan rakyat di negeri ini menjana pendapatan lebih baik meskipun negara berdepan situasi sukar akibat pandemik COVID-19, katanya.

“Ini bermakna kita tidak lagi berminat pelaburan berbentuk buruh yang menggunakan pekerja ramai namun ia akan turut menyumbang kepada pencemaran alam sekitar. Kerajaan negeri akan lebih berhati-hati dalam memilih pelabur yang dibawa masuk ke negeri ini bagi memastikan pelaburan itu memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya.

Mengenai program Misi Perdagangan, beliau berkata ia melibatkan perbincangan secara maya dengan pihak kedutaan di lapan buah negara iaitu Sepanyol, Perancis, Taiwan, Jepun, Turki, Jerman, Korea Selatan dan China dijadual berlangsung pada 31 Mac depan.

“Program pertama bermula dengan negara Sepanyol yang akan membincangkan bersama pihak kedutaan serta wakil MIDA di luar negara dalam usaha untuk menarik lebih ramai pelabur antarabangsa ke negeri ini,” katanya. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon