B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ericsson sedia bantu Malaysia terokai 5G

Ericsson sedia bantu Malaysia terokai 5G

19 Mac 2021

Syarikat gergasi telekomunikasi Sweden, Ericsson yang dinamakan sebagai peneraju dalam 5G menyediakan teknologi itu di pusat sokongan globalnya di Malaysia bagi memenuhi keperluan negara dan serantau.

Pusat itu adalah antara pusat sokongan terbesar Ericsson di peringkat global.

“Ericsson berada di Malaysia sejak sekian lama dan kami berhasrat mempercepatkan perjalanan transformasi digital Malaysia,” kata Presiden Ericson bagi Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbo.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi mengumumkan pencapaian Ericsson yang dinamakan sebagai peneraju bagi Infrastruktur Rangkaian 5G untuk Penyedia Perkhidmatan Komunikasi dalam laporan Magic Quadrant 2021 yang dikeluarkan oleh Gartner, baru-baru ini.

“Ericsson mempunyai komitmen jangka panjang untuk membentuk ekosistem 5G global berikutan kita melihat 5G sebagai platform inovasi yang akan mengubah cara hidup dan pekerjaan serta memperkasa negara,” katanya.

Pada masa ini, pusat sokongan global itu menyediakan aktiviti membabitkan kelengkapan 2G, 3G dan 4G.

“Kami sudah menggerakkan semua generasi mobiliti di Malaysia iaitu 2G, 3G, 4G dan baru-baru ini kami adalah yang pertama mencuba 5G di Malaysia bersama-sama pelanggan kami, Celcom Axiata.

“Percubaan itu yang dijalankan menerusi jalur 28 GHz adalah yang pertama di Asia Tenggara dan menggambarkan kejayaan penting dalam perjalanan negara ke arah 5G,” katanya.

Ia seumpama komitmen Ericsson untuk Malaysia sejak berada di sini pada 1965 dengan memberikan manfaat jalur lebar mudah alih kepada negara.

Komitmen jangka panjang Ericsson di negara ini diperkukuhkan lagi dengan pelancaran inisiatif MyDIGITAL oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Februari.

Inisiatif digital itu antara lain menumpukan kepada cadangan melancarkan generasi seterusnya bagi teknologi mudah alih 5G dan meningkatkan sambungan digital negara dan meletakkan negara ini sebagai peneraju digital.

Ketika melancarkan inisiatif berkenaan, Muhyiddin menegaskan bahawa ia adalah pengubah berikutan semakin banyak perkhidmatan pintar yang mempunyai impak langsung akan disediakan demi kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu Hagerbo berkata: “Pelaburan kami untuk masa depan Malaysia adalah termasuk Pusat Inovasi Ericsson untuk 5G (IC5G) di Universiti Teknologi Malaysia, pusat pertama seumpamanya di Malaysia yang mana kami menjalankan penyelidikan, seminar, latihan, program hackathon dan pameran.

“Kehadiran kami selama 56 tahun di Malaysia banyak membantu untuk membangunkan pengalaman tempatan yang amat kukuh dalam bidang Rangkaian Akses Radio (RAN), rangkaian teras dan perkhidmatan terurus yang menyokong Malaysia dan rantau ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai laporan oleh Gartner, Hagerbo berkata ia mengiktiraf Ericsson sebagai peneraju bagi ‘Kemampuan Melaksanakan’ dan ‘Kesempurnaan Visi’.

Penilaian itu termasuk produk dan perkhidmatan Ericsson, kegerakbalasan pasaran dan rekod prestasi, pelaksanaan pemasaran, pengalaman pelanggan dan daya maju keseluruhan.

“Pengiktirafan bebas Ericsson sebagai peneraju global 5G mencerminkan keyakinan penyedia perkhidmatan kepada kami untuk melancarkan dan menguruskan rangkaian 5G mereka. Ketika ini, Ericsson mempunyai 132 perjanjian 5G dan berjaya melancarkan 79 rangkaian komersial di 40 negara, setakat ini.

“Pelaburan penting kami dalam 5G telah memastikan kami mempunyai produk, penyelesaian, kemahiran dan kakitangan terbaik, justeru kami berupaya memenuhi keperluan pelanggan dan dapat memberikannya apabila mereka atau sesebuah negara memulakan pelancarannya, memerlukannya,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon