B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan Negeri Sabah, Petronas lancarkan Pelan Induk Gas Sabah

Kerajaan Negeri Sabah, Petronas lancarkan Pelan Induk Gas Sabah

04 Jan 2022

Kerajaan Sabah hari ini melancarkan Pelan Induk Gas Sabah dengan kerjasama Petrolium Nasional Berhad (Petronas) yang memfokuskan kepada tiga aspek utama dalam usaha memacu pelaburan sumber gas asli di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata aspek pertama dalam pelan induk berkenaan ialah pembinaan loji gas asli cecair (LNG) dengan kapasiti 2.0 juta tan setahun (MTPA) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Beliau berkata kemudahan LNG itu akan memberi peluang untuk mengembangkan pengedaran LNG di Sabah termasuk aktiviti seperti sistem saluran paip maya, membolehkan lebih banyak perniagaan perindustrian dan komersial mengakses serta menggunakan gas asli sebagai sumber tenaga yang lebih bersih.

“Keduanya, kerajaan negeri akan mengambil peranan yang lebih menonjol dalam menerajui aktiviti pemasaran dan pengedaran di Sabah, dengan 120 juta kaki padu standard sehari (MMscfd) bekalan gas akan disediakan bagi pembangunan industri utama di negeri ini,” katanya pada majlis pelancaran Pelan Induk Gas Sabah, Perjanjian Induk Bekalan Gas Asli (HOA) dan Perasmian Menara Petronas 2, di sini ,hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata gas asli berkenaan akan dibekalkan dari Terminal Minyak dan Gas Sabah di Kimanis dan Terminal Gas di Tuaran melalui pemeteraian perjanjian induk (HOA) antara Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) dan Petronas untuk membekalkan 70 MMscfd gas asli serta pertukaran dokumen HOA untuk 50 MMscfd bekalan gas asli bagi kegunaan di Sabah.

Manakala pelan ketiga menekankan set derivatif pilihan petrokimia untuk Sabah bagi menarik pelabur berdasarkan keperluan pasaran dan prospek masa depan iaitu memanfaatkan bahan mentah yang sedia ada di dalam negara.

Terdahulu beliau  merasmikan menara baharu Petronas 2 setinggi 11 tingkat bernilai RM190 juta yang dibina sejak Mac 2016  dan siap pada April tahun lepas, menghubungkan menara Petronas sedia ada serta mempunyai dewan serba guna dan bilik mesyuarat.

Pada majlis itu Hajiji bersama Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun turut menyaksikan penyerahan buku Pelan Induk Gas Sabah daripada Naib Presiden Kanan, Strategi Korporat Petronas Mazuin Ismail kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong.

Sementara itu bagi perjanjian HOA, Petronas diwakili Naib Presiden Kanan, Pengurusan Petroleum Malaysia Mohamed Firouz Asnan manakala SEC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Harun Ismail.

Dalam pada itu, Mohd Bakke berkata beliau yakin pelan induk berkenaan akan membuka satu lagi lembaran baharu kerjasama antara kerajaan negeri dan Petronas untuk membangunkan ekonomi Sabah  supaya menjadi lebih berdaya saing dan makmur.

Mengambil contoh SOGIP, Mohd Bakke berkata, kerajaan negeri mempunyai peluang untuk memperluaskan liputan pengagihan gas asli dengan menggunakan sistem paip maya yang akan membolehkan lebih ramai pengguna memanfaatkan sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan walaupun terletak jauh dari jaringan paip gas asli fizikal yang sedia ada.

“Harapan kita adalah supaya pelabura hiliran ini akan membuka peluang sinergi dengan sektor lain seperti pertanian dan pembuatan sekali gus mengukuhkan daya maju ekonomi negeri Sabah,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon