B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan lulus RM109.1 bilion untuk tingkat pelaburan asing dalam tempoh 100 hari pentadbiran – PM

Kerajaan lulus RM109.1 bilion untuk tingkat pelaburan asing dalam tempoh 100 hari pentadbiran – PM

09 Dis 2021

Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah meluluskan sebanyak RM109.1 bilion dalam tempoh 100 pentadbiran bagi meningkatkan pelaburan asing dalam sektor pembuatan, dengan unjuran 25,000 peluang pekerjaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata MITI telah berjaya meningkatkan pelaburan asing dalam sektor tersebut dengan memacukan pertumbuhan ekonomi melalui program galakan pelaburan yang strategik.

Selain itu, katanya, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi juga telah meningkatkan eksport sektor agrokomoditi dengan nilai eksport RM147.2 bilion yang meningkatkan sumbangan kepada pendapatan rakyat dan negara.

“Atas kesedaran bahawa syarikat dan pengusaha adalah enjin pemulihan ekonomi, Kementerian Kewangan juga melalui inisiatif bayaran untuk Program Subsidi Upah telah menyalurkan sebanyak RM3.3 bilion bagi membantu aliran tunai peniaga kecil dan perusahaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya semasa majlis perasmian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, inisiatif ini telah memberikan manfaat kepada 189,000 majikan dan 1.9 juta pekerja.

Menurutnya, inisiatif-inisatif yang diperkenalkan kerajaan ini merupakan  kejayaan  Aspirasi Keluarga Malaysia melalui  Teras Satu iaitu  Menstukturkan Semula Ekonomi.

Beliau  berkata, kerajaan telah mengariskan enam teras utama dalam pencapaian 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia iaitu menstrukturkan ekonomi, menjamin keselamatan dan ketenteraman negara, meningkatkan kesejahteraan sosial, mempertingkat infrastruktur menyeluruh, memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia dan memperkasakan penyampaian perkhidmatan. 

Selain itu, katanya,  kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)  melalui kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah membolehkan pembukaan penuh sektor ekonomi.

“Ini menjadi ramuan asas kepada proses kebangkitan ekonomi makro dan rakyat, sekali gus menyemai benih pemulihan yang kukuh apabila negara memasuki suku keempat 2021,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, Malaysia mencatatkan peningkatan keluaran dalam negara kasar sebanyak 3.0 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama 2021, berbanding penguncupan 6.4 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Angka mutakhir kadar pengangguran sudah berkurangan kepada 4.3 peratus pada Oktober 2021, berbanding kemuncak 5.3 peratus pada Mei 2020.

“Angka terbaru ini juga lebih rendah dari dua bulan sebelumnya,  menunjukkan bahawa 100 hari  pertama membawa keberhasilan hakiki dalam aspek peluang pekerjaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata  trend penurunan kadar pengangguran yang menggalakkan ini juga turut disertai lonjakan 24.7 peratus  eksport dan peningkatan 11.6 peratus dalam nilai jualan sektor pembuatan pada bulan yang sama.

Katanya, Malaysia mencatatkan perkembangan pelaburan langsung asing bersih (FDI) yang positif sebanyak RM12.8 bilion pada suku ketiga 2021 berbanding RM8.2 bilion pada suku kedua, iaitu peningkatan 56 peratus.

“Ini menjadikan jumlah FDI bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini kepada lebih RM30 bilion iaitu peningkatan sebanyak 300 peratus berbanding tempoh yang sama bagi tahun 2020. Angka ini masih dapat dicapai di sebalik penutupan sempadan akibat pandemik,” katanya.

Selain itu, katanya, pelbagai program dirangka untuk memastikan Keluarga Malaysia dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan selesa dan  bukan hanya golongan pekerja yang diperjuangkan, tetapi juga golongan usahawan.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah berjaya melahirkan 3,667 usahawan baharu yang terdiri daripada belia, graduan dan warga yang hilang pekerjaan akibat pandemik,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga telah menyalurkan geran sebanyak RM40.48 juta kepada PKS, industri kreatif digital dan syarikat industri digital.

“Ini bertujuan memacu penerimagunaan digital, pengkomersialan teknologi dan harta intelek, sekali gus memperkasa daya saing,” katanya.

Di samping itu, katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui kerjasama dengan Agro Bank telah menyalurkan pembiayaan bernilai lebih RM80 juta kepada 4,217 penerima, serta menyasarkan peruntukan keseluruhan bernilai RM110 juta hingga tahun 2022.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X