B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan kaji semula duti antilambakan keluli aloi – MITI

Kerajaan kaji semula duti antilambakan keluli aloi – MITI

13 Apr 2021

Kerajaan memutuskan untuk memulakan kajian semula pentadbiran (pelanjutan tempoh) duti antilambakan ke atas import keluli aloi dan bukan aloi gegelung gulungan sejuk yang berasal atau dieksport dari China, Korea Selatan dan Vietnam.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), keputusan itu dibuat selepas kerajaan menilai dan mempertimbangkan bukti lambakan, kemudaratan serta hubung kait di antara kedua-duanya.

“Selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994, suatu penentuan muktamad akan dibuat dalam tempoh 180 hari daripada tarikh pemulaan penyiasatan.

“Sekiranya penentuan muktamad adalah afirmatif, kerajaan akan mengenakan duti antilambakan bagi mencegah kemudaratan lanjut terhadap industri domestik,” menurut MITI dalam kenyataan pada Selasa.

MITI menjelaskan justeru, pihaknya akan mengedarkan borang soal selidik kepada pihak berkepentingan seperti pengeluar tempatan dan persatuan pengeluar Malaysia yang berkaitan; pengeluar atau pengeksport produk itu di China, Korea Selatan dan Vietnam; pengimport dan persatuan pengimport berkaitan serta kerajaan China, Korea Selatan dan Vietnam.

Pihak lain yang berkepentingan boleh memohon bagi mendapatkan borang soal selidik tersebut selewat-lewatnya pada 27 April, 2021, menurut MITI.

“Pihak berkepentingan juga boleh memberi pandangan dan bukti tambahan secara bertulis kepada MITI selewat-lewatnya pada atau sebelum 11 Mei, 2021. Sekiranya tiada maklumat tambahan diterima dalam tempoh yang ditetapkan, kerajaan boleh membuat penentuan muktamad berdasarkan fakta yang sedia ada,” jelas MITI.

Kajian semula itu diputuskan kerajaan susulan penerimaan satu petisyen daripada pengeluar tempatan, Mycron Steel CRC Sdn Bhd pada 15 Mac 2021.

Menurut MITI syarikat itu memohon kajian semula pentadbiran (pelanjutan tempoh) duti antilambakan import keluli aloi dan bukan aloi gegelung gulungan sejuk yang mempunyai ketebalan 0.20 milimeter (mm) hingga 2.60 mm dan kelebaran 700 mm hingga 1,300 mm berasal atau dieksport dari negara-negara berkenaan yang akan berakhir pada 23 Mei, 2021.

“Petisyen itu berdasarkan alasan bahawa penamatan duti antilambakan yang sedang berkuat kuasa berkemungkinan menyebabkan lambakan dan kemudaratan berterusan atau berulang terhadap industri Malaysia.

“Pempetisyen juga mendakwa dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari negara-negara berkenaan telah meningkat dan dilambak ke Malaysia pada harga lebih rendah daripada harga jualan domestik di negara-negara berkenaan selain kesan lambakan telah mengakibatkan kemudaratan material terhadap keluaran serupa industri domestik di Malaysia,” menurut MITI.

MITI memaklumkan notis pemulaan Kajian Semula Pentadbiran (pelanjutan tempoh) duti antilambakan mengenai import keluli aloi dan bukan aloi gegelung gulungan sejuk yang berasal atau dieksport itu boleh dicapai melalui https://www.miti.gov.my/miti/resources/pub_20210412_PUB199.pdf.

Maklumat lanjut mengenai penyiasatan ini boleh diajukan kepada Pengarah Seksyen Amalan Perdagangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Aras 9, Menara MITI No. 7, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah, 50480 Kuala Lumpur atau di talian 03-6208 4631/4660/4635/4639, faks 03-6211 4429 atau e-mel kepada [email protected].

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X