B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kelantan setuju bangunkan Pelabuhan Darat Pasir Puteh

Kelantan setuju bangunkan Pelabuhan Darat Pasir Puteh

11 Jul 2021

Kerajaan Kelantan bersetuju untuk membangunkan Pelabuhan Darat Pasir Puteh yang menawarkan perkhidmatan sokongan selain mewujudkan ekosistem kondusif ke atas industri sedia ada di kawasan Tok Bali.

Menurut Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Tok Bali yang dipengerusikan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, secara dalam talian hari ini.

Dalam kenyataannya, ECERDC berkata fokus utama jawatankuasa yang ditubuhkan pada Mac 2021 itu adalah bagi memastikan penyelarasan pembangunan kawasan Tok Bali secara komprehensif, memudah cara pelaksanaan projek serta usaha menarik pelaburan bagi mempercepat pembangunan selain memacu pertumbuhan ekonomi kawasan tersebut.

Mesyuarat itu turut memutuskan bahawa projek-projek yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan Tok Bali perlu diberi keutamaan kerana berpotensi menjadi pemangkin atau pengubah dalam transformasi ekonomi Kelantan.

“Bagi memastikan projek-projek ini dapat memacu ekonomi dan aktiviti-aktiviti perdagangan rentas sempadan, mesyuarat bersetuju supaya satu rumusan strategi dapat disediakan bagi mengenal pasti langkah-langkah pelaksanaan pembangunan kawasan ‘Inland Port’ (Pelabuhan Darat)  Pasir Puteh bersama Pelabuhan Komersial Tok Bali.

“Antara pihak terlibat ialah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Unit Perancang Ekonomi, Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, PLANMalaysia, Petronas selain sektor swasta Bersama ECERDC,” katanya.

ECERDC berkata sejajar dengan kedudukan strategik Tok Bali serta penyediaan infrastruktur untuk menjamin kemampanan pembangunan kawasan terbabit, jawatankuasa itu meminta pihak PLANMalaysia mempercepatkan pelaksanaan Kajian Sempadan Antarabangsa Malaysia-Thailand (KSAMT) yang mengambil kira impak pembangunan Tok Bali ke atas kawasan sempadan Kelantan.

Menurutnya, ECERDC juga sedang melaksanakan Pelan Transformasi Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali bagi untuk memperkukuh rantaian nilai perikanan, termasuk kemudahan infrastruktur bagi menyokong aktiviti hiliran dan pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan untuk penghasilan produk ikan bernilai tinggi.

“Sehubungan itu, mesyuarat turut menetapkan supaya garis masa pelaksanaan pelan transformasi tersebut dimuktamadkan serta memastikan semua isu berkaitan pelaburan dan bekalan ikan dapat ditangani segera.

“Ini bagi mencapai objektif menjadikan Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali sebagai pusat aktiviti perikanan huluan dan hiliran,” katanya.

Agensi itu berkata, sehingga Jun 2021, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM297.7 juta untuk pembangunan kawasan Tok Bali yang meliputi projek Taman Industri Tok Bali sebanyak RM200 juta, Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali RM67.7 juta manakala RM30 juta bagi menaik taraf Jalan Tok Bali-Pasir Puteh.

“Selain itu, pelaburan komited daripada pihak swasta di Tok Bali sehingga Jun 2021 pula berjumlah RM1.75 bilion yang mana RM329 juta daripadanya telah dapat direalisasikan,” kata ECERDC.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon