B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kedah jangka tarik pelaburan baharu kira-kira RM10 bilion tahun 2022

Kedah jangka tarik pelaburan baharu kira-kira RM10 bilion tahun 2022

14 Nov 2021

Kerajaan Kedah menjangkakan dapat menarik pelaburan baharu ke negeri ini berjumlah kira-kira RM10 bilion pada tahun depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata untuk mencapai sasaran itu, ia memerlukan usaha keras serta kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Kita sasarkan setiap tahun (mulai tahun depan) akan ada pelaburan, paling kurang RM10 bilion yang akan kita tarik masuk ke Kedah kerana kita ada kawasan industri yang berpotensi seperti Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam, Kedah Rubber City (KRC) dan kawasan industri sedia ada di Gurun, Bukit Selambau dan Sungai Petani.

“Inilah kawasan-kawasan yang kita tawarkan untuk menarik pelabur masuk ke Kedah bagi menyediakan peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi daripada peningkatan industri yang berlangsung,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Bajet Kedah 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Terdahulu, ketika membentangkan bajet bertemakan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’, Muhammad Sanusi memaklumkan kerajaan negeri berjaya menarik pelaburan keseluruhan sebanyak RM43.6 bilion tahun ini meskipun berhadapan kesuraman ekonomi global disebabkan COVID-19.

“Ia merangkumi RM42.5 bilion dalam sektor perkilangan manakala RM1.1 bilion dalam sektor perkhidmatan dan industri utama. Pelaburan tahun 2021 telah menunjukkan peningkatan dan menjadikan negeri Kedah berada di tangga pertama, mendahului negeri lain di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata antara pelaburan utama pada tahun ini telah disumbangkan melalui pelaburan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui iaitu Risen Solar Technology Sdn Bhd, diikuti Syarikat Munzing Malaysia Sdn Bhd sebanyak RM55 juta, Syarikat SP Mega Mineral Sdn Bhd (RM29 juta) dan beberapa lagi syarikat lain.

Pelaburan ini telah membuka peluang pekerjaan sebanyak 4,417 pelbagai jawatan yang bakal dinikmati oleh rakyat Malaysia secara amnya dan Kedah secara khususnya, ujar beliau.

Beliau menambah bagi tahun 2022 pula, kerajaan negeri berpandukan Teras Kemakmuran Ekonomi di bawah Pelan Pembangunan Negeri Kedah 2035 (KEDAH2035) menyasarkan beberapa lagi syarikat ternama yang akan memilih Kedah sebagai destinasi pelaburan utama.

“(Untuk) pemajuan kawasan industri Kulim Technology Park Corporation (KTPC), kerajaan negeri telah bersetuju bagi melaksanakan pembesaran KHTP Fasa 4A dan Fasa 5 dengan keluasan 695 ekar bagi menampung permintaan daripada pelabur,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata dijangkakan 15,000 peluang pekerjaan baharu dapat diwujudkan kepada penduduk setempat terutamanya di negeri ini daripada projek pembesaran berkenaan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon