B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kedah catat pelaburan RM8.55 bilion bagi suku pertama 2022

Kedah catat pelaburan RM8.55 bilion bagi suku pertama 2022

18 Jul 2022

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini diberitahu bahawa jumlah pelaburan yang diterima negeri ini setakat suku pertama 2022 sebanyak RM8.55 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Kedah Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata jumlah itu menjadikan Kedah berada pada kedudukan pertama berbanding semua negeri lain di negara ini.

“Pulau Pinang (merekodkan) RM6.33 bilion, selepas itu Sabah lebih RM3 bilion. Kita berharap momentum ini dapat kita teruskan dan saya percaya tahun ini kita juga akan mencapai jumlah pelaburan yang memberangsangkan, tetapi tidaklah sama banyak (seperti) 2021. 2021 orang kata istimewa,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Norsabrina Mohd Noor (BN-Bandar Baharu) yang ingin tahu kejayaan pelaburan direkodkan oleh kerajaan negeri setakat ini bagi 2022.

Ku Abd Rahman berkata kebanyakan pelaburan bagi suku pertama melibatkan bidang elektrik dan elektronik berikutan kekurangan cip semikonduktor, sekali gus menyebabkan pihak syarikat meningkatkan pengeluaran masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata sejumlah 12,733 peluang pekerjaan diwujudkan tahun lepas melalui jumlah keseluruhan pelaburan dalam industri pembuatan bernilai RM66.22 bilion.

“(Pelaburan) domestik hanya RM386 juta, pelaburan asing RM65.833 bilion, jumlah semua RM66.22 bilion. Angka ini ialah angka tertinggi yang pernah kita capai dalam sejarah,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon