B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


PMINT berjaya tarik pelaburan hampir RM4 bilion ke Terengganu

PMINT berjaya tarik pelaburan hampir RM4 bilion ke Terengganu

18 Jul 2022

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) berjaya menarik pelaburan hampir RM4 bilion meliputi sektor perkilangan, perkhidmatan dan perindustrian bagi tempoh Julai 2020 hingga Jun tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Wan Adnan Wan Derahman berkata ia susulan persetujuan lima syarikat pelabur iaitu BTM Biomass Products Sdn Bhd, Clear Water Services Sdn Bhd, Multi Max Engineering & Services Sdn Bhd, Swift Integrated Logistics Sdn Bhd dan Xinyi Energy Smart (Malaysia) Sdn Bhd untuk memulakan operasi di Terengganu dalam masa terdekat.

“Ketika ini, proses penyediaan pelan dan laporan terperinci sedang diusahakan oleh pihak pelabur untuk tujuan kelulusan pelan, di samping proses penyediaan infrastruktur dan prasarana dengan pihak terlibat seperti Tenaga Nasional Bhd, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedang giat direncanakan untuk memenuhi keperluan pelabur di lokasi yang dipilih.

“Apabila siap kelak, lima projek ini akan menawarkan 3,800 peluang pekerjaan untuk rakyat Terengganu termasuk tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita di Menara PMINT di sini, semalam.

Pelaburan terbesar setakat ini ialah Xinyi Energy sebanyak RM3.17 bilion, diikuti BTM Biomass (RM500 juta), Swift Integrated (RM26.39 juta), kilang papan YST Sdn Bhd (RM5 juta), Clear Water Services (RM1 juta) dan Multi Max Engineering (RM1 juta).

Mengulas lanjut, Wan Adnan berkata kejayaan itu membuktikan Terengganu mampu mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan unggul di negara ini meskipun ekonomi global masih berdepan persekitaran yang mencabar akibat pandemik COVID-19.

Tambahnya sejak Julai 2020, PMINT sebagai agensi kerajaan negeri telah diberi tanggungjawab untuk merancang, mengurus dan melaksanakan pembangunan kawasan industri dan menyediakan ruang pelaburan yang kondusif bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI).

Beliau berkata PMINT sangat komited dan serius untuk membangunkan ekonomi dan pertumbuhan pelaburan di negeri ini dalam memastikan tanah industri yang diberikan dibangunkan sepenuhnya mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

“Selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang terbuka untuk menarik para pelabur datang ke Terengganu, PMINT sentiasa bersedia untuk bekerjasama dan berbincang dengan mana-mana syarikat pelabur dari dalam dan luar negara dengan menawarkan pajakan tanah industri berstatus milikan kerajaan di seluruh daerah di Terengganu. 

“Kami juga akan merangka  perindustrian yang bersesuaian dengan mengambil kira jenis industri yang akan diusahakan oleh pelabur,” katanya.

Selain itu, PMINT akan bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan negeri serta agensi kerajaan persekutuan yang berkaitan untuk penyelarasan promosi, insentif atau geran peruntukan bagi tujuan pembangunan perindustrian ini di samping memberi khidmat nasihat dan pandangan mengenai etika dan garis panduan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan PBT,”  jelasnya.

Berdasarkan rekod, Terengganu mempunyai 26 kawasan perindustrian yang telah dizonkan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X