B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kedah bakal terima pelaburan dalam teknologi hijau dan pertahanan bernilai RM1.5 bilion

Kedah bakal terima pelaburan dalam teknologi hijau dan pertahanan bernilai RM1.5 bilion

06 Jan 2021

Kedah bakal menerima pelaburan dalam industri kenderaan teknologi hijau dan peralatan pertahanan bernilai RM1.5 bilion tidak lama lagi.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata projek berimpak tinggi itu dijangka menjadikan Kedah sebagai sebuah hab pemasangan kenderaan teknologi hijau dan industri pertahanan yang utama di Asia Tenggara.

“Projek ini akan dikendalikan oleh dua buah syarikat besar iaitu Go Auto Group dan Flumen Holdings Sdn. Bhd. yang turut mempunyai rangkaian perniagaan di luar negara.

“Kedua-dua syarikat ini merupakan pemain utama dalam industri kenderaan cekap tenaga dan teknologi hijau serta terlibat dalam pembekalan peralatan pertahanan dan teknologi informasi,” katanya kepada pemberita selepas majlis Ramah Mesra Bersama Penghuni Perumahan Generasi Baharu Felda di Felda Laka Selatan, dekat sini pada Rabu.

Menurut Muhammad Sanusi syarikat Go Auto sememangnya sudah mempunyai operasi kilang automotif di Gurun sejak 2015.

Katanya, sehingga kini syarikat itu sudah mengeluarkan kenderaan cekap tenaga jenama Haval dan Borgward dari China, van komersial dengan teknologi Higer serta bas elektrik dengan jenama sendiri, Go Auto.

Muhammad Sanusi berkata pelaburan itu juga dijangka dapat menyediakan lebih 8,000 peluang pekerjaan baharu, di samping membawa masuk pemain industri automotif dan pertahanan terkemuka dunia.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kedua-dua syarikat berkenaan juga akan bergabung untuk memiliki 80 peratus saham dalam Darulaman FC Sdn. Bhd. (DFC) secara konsesi (5+5 tahun) tertakluk kepada perjanjian.

“Bagi pegangan saham dalam DFC mereka akan menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang akan dimeterai kelak.

“Pemilihan kedua-dua syarikat ini adalah berdasarkan rekod dan potensi kewangan, perancangan pembangunan perniagaan bola sepak yang mandiri serta membawa nilai dan aktiviti pelaburan yang berimpak tinggi kepada Kedah,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon