B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ekonomi Malaysia Dijangka Melonjak Semula Dengan Lebih Pesat Selepas COVID-19 Berjaya Dikawal

Ekonomi Malaysia Dijangka Melonjak Semula Dengan Lebih Pesat Selepas COVID-19 Berjaya Dikawal

06 Jan 2021

Ekonomi Malaysia dijangka melonjak semula dengan lebih pesat lagi selepas negara berjaya mengawal dan meredakan pandemik COVID-19, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata jangkaan ini berdasarkan indeks sekatan pergerakan berkesan, apabila sebuah perunding antarabangsa mengunjurkan Malaysia adalah antara tiga negara yang mempunyai ruang paling banyak untuk mengawal dan meredakan pandemik COVID-19 pada 2021.

Beliau turut memetik laporan berita sebuah syarikat media antarabangsa, yang meletakkan Malaysia di tempat kelima sebagai destinasi tumpuan pelaburan dan perniagaan utama dalam kalangan ekonomi membangun sedunia bagi tahun 2021, mengatasi negara-negara seperti China, Filipina, India dan Indonesia.

“Ini berdasarkan, antara lainnya, potensi pemulihan ekonomi yang pesat, serta kedudukan fiskal dan kewangan negara yang stabil,” katanya ketika membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-35 hari ini.

Beliau turut memetik laporan oleh sebuah firma perunding antarabangsa baru-baru ini yang menyimpulkan bahawa Kuala Lumpur kekal menarik kepada komuniti perniagaan antarabangsa, mengambil kira faktor-faktor seperti kemudahan infrastruktur yang bersepadu, kepelbagaian dan mutu sumber manusia, serta kesediaan negara dalam mengadaptasi teknologi digital.

“Dalam kerajaan merangka perjalanan ekonomi negara pasca COVID-19 ini, semestinya sebarang keputusan perlu mengimbangi antara pengurusan sumber sedia ada, serta impak positif atau pengganda bagi jangka masa pendek dan panjang.

“Pendekatan ini akan terus diamalkan oleh Kementerian Kewangan dalam penggubalan setiap dasar,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon