Kaspersky yakin industri IoT akan berjaya di Malaysia - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kaspersky yakin industri IoT akan berjaya di Malaysia

Kaspersky yakin industri IoT akan berjaya di Malaysia

14 Jul 2023

Malaysia kini berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan peluang ekonomi yang dijana oleh teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT).

Ketua Unit Perniagaan KasperskyOS, Andrey Suvorov, berkata industri IoT akan berjaya di negara ini, disokong oleh Pelan Hala Tuju Strategik IoT Kebangsaan yang dilaksanakan, ditambah dengan sektor elektrik dan elektronik (E&E), telekomunikasi serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kukuh.

Beliau berkata, memetik data daripada Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC), Malaysia diunjurkan meneraju pertumbuhan ekonomi digital Asia Tenggara, yang dijangka meningkat kepada AS$1 trilion pada 2030.

“IoT adalah tunjang utama transformasi digital memandangkan perkara itu membantu perniagaan meningkatkan kecekapan menerusi automasi tugasan dan proses, selain melonjakkan produktiviti dan membantu syarikat membuat keputusan yang lebih baik.

“Kesimpulannya, Malaysia perlu menangani masalah dalam mewujudkan ekosistem IoT komprehensif, menstandardkan teknologi IoT serta keselamatan dan privasi,” katanya kepada Bernama.

Suvorov berkata, terdapat juga keperluan untuk mengubah pendekatan kepada keselamatan siber bagi meraih faedah penuh IoT dalam ekonomi digital di samping mengekalkan aspek keselamatan.

“Di Kaspersky, kami mengambil pendekatan khusus yang dikenali sebagai ‘Cyber Immunity’ (Imuniti Siber), iaitu produk dijamin dengan reka bentuk dan akan dapat menangkis kebanyakan serangan tanpa memerlukan alat perlindungan tambahan,” katanya.

Suvorov memuji langkah kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Keselamatan Siber Malaysia, dan berkata kerajaan sentiasa bertindak proaktif dalam bidang keselamatan siber.

Beliau walau bagaimanapun berkata, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam sektor ini, selain menekankan bahawa perniagaan perlu melabur dalam latihan keselamatan siber untuk pekerja kerana berlaku kekurangan profesional keselamatan siber.

Pada masa sama, pihak media perlu meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber dalam kalangan pengguna memandangkan komuniti profesional perlu berkembang, katanya.

“Selain itu, penting untuk bekerjasama dengan pihak daripada sektor awam dan swasta, terutama dalam mengumpul sumber, berkongsi maklumat, risikan dan penyelesaian bersama dalam memerangi cabaran keselamatan siber,” katanya.

Suvorov berkata, CyberSecurity Malaysia mempunyai pasukan yang bekerja bagi Pusat Penilaian Kerentanan Malaysia (MyVAC).

Beliau berkata, Kaspersky menyertai Persatuan IoT Malaysia baru-baru ini, dan merancang untuk menyumbang ke arah meningkatkan daya tahan siber Malaysia, bersama-sama dengan peserta pasaran lain dalam rantaian nilai IoT.

“Bekerjasama dengan pakar keselamatan siber global sentiasa merupakan satu idea yang baik untuk kekal mengikuti aliran terkini, berkongsi kepakaran dan meningkatkan asas pengetahuan,” katanya.

Kaspersky ialah syarikat keselamatan siber dan privasi digital global, dengan kepakaran dalam perisikan ancaman dan keselamatan, menawarkan perlindungan terkemuka kepada peranti fizikal yang menyambung ke sistem rangkaian serta penyelesaian keselamatan khusus kepada lebih 400 juta pengguna dan 240,000 pelanggan korporat di seluruh dunia.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon