B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kadar kemajuan projek ECRL capai 20.8 peratus

Kadar kemajuan projek ECRL capai 20.8 peratus

07 Mac 2021

Pembinaan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijadualkan siap menjelang 2026 sudah mencapai kemajuan sebanyak 20.8 peratus setakat ini.

Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata masih ada beberapa isu yang belum diselesaikan termasuk pemilikan tanah dan pengurusan tapak, namun kemajuan projek itu disifatkan sudah ke hadapan satu peratus berbanding jadual asal.

“Masih ada tempoh panjang dan setakat ini keseluruhan peratusan (projek) sudah mencapai 20.8 peratus.

“Isu yang paling kritikal kerana kita memerlukan kelulusan kerajaan dan keseluruhan projek itu ada tiga seksyen iaitu A (Kota Bharu ke Dungun), B (Dungun ke Temerloh) dan C (Temerloh ke Pelabuhan Klang).

“Untuk di Selangor ini, kita masih menunggu kelulusan kerajaan negeri. Jika kelulusan dapat dicapai, maka projek akan dijalankan (segera) supaya tidak lari daripada jadual,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed melakukan lawatan kerja di tapak pembinaan rumah keluarga angkatan tentera (RKAT) Kem Tumbi di sini.

Mengulas penyertaan kontraktor tempatan, Mohd Zuki yang juga Ketua Setiausaha Negara (KSN) berkata, sebanyak 40 peratus diperuntukkan dalam projek mega itu, namun sehingga sekarang hanya 12 peratus saja yang terbabit.

Beliau berkata, disebabkan projek itu masih pada peringkat awal, ada sesetengah isu yang belum diselesaikan dan kerja yang berjalan setakat ini hanya membabitkan pembinaan terowong serta jambatan.

“Sasaran kita untuk memastikan penyertaan 40 peratus kontraktor tempatan terbabit, setakat ini baru mencecah 12 peratus.

“Kita ada jawatankuasa khas ditubuhkan untuk memantau penyertaan kontraktor tempatan kerana ia membabitkan satu peruntukan besar,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon