B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Jumlah perdagangan Malaysia naik 43.4 peratus kepada RM270.4 bilion pada Jun 2022

Jumlah perdagangan Malaysia naik 43.4 peratus kepada RM270.4 bilion pada Jun 2022

20 Jul 2022

Jumlah perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 43.4 peratus tahun ke tahun pada Jun 2022, mencapai paras tertinggi sebanyak RM270.4 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata eksport meningkat 38.8 peratus tahun ke tahun kepada RM146.2 bilion pada Jun 2022, berkembang untuk bulan ke-22 berturut-turut sejak September 2020 manakala import meningkat 49.3 peratus tahun ke tahun kepada RM124.2 bilion

Beliau berkata pertumbuhan eksport dipacu oleh prestasi memberangsangkan dalam eksport domestik dan eksport semula.

“Eksport domestik bernilai RM110.6 bilion, mewakili 75.7 peratus bahagian daripada jumlah eksport Malaysia, berkembang kukuh sebanyak 30.6 peratus, tahun ke tahun, manakala eksport semula mencatatkan RM35.6 bilion, meningkat 72.2 peratus.

“Memandangkan import berkembang lebih pantas daripada eksport, lebihan dagangan menyusut sebanyak 0.8 peratus kepada RM21.9 bilion, menandakan lebihan dagangan bulan ke-26 berturut-turut sejak Mei 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata 189 daripada 252 kumpulan komoditi dalam eksport menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya dan ia diterajui oleh injap dan tiub termionik. Bagi import pula, 198 daripada 259 kumpulan mencatatkan pertumbuhan positif.

Beliau berkata peningkatan dalam eksport disebabkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura berjumlah RM9.0 bilion, Amerika Syarikat (AS) (+RM3.9 bilion), Kesatuan Eropah (EU) (+RM3.5 bilion), Jepun (+RM3.1 bilion), Hong Kong (+RM2.7 bilion), Indonesia (+RM2.3 bilion), Bangladesh (+RM2.1 bilion), India (+RM1.5 bilion) dan Korea Selatan (+ RM1.5 bilion).

“Peningkatan mengikut produk dipacu oleh produk elektrik dan elektronik (E&E) (+RM15.2 bilion); keluaran petroleum (+RM9.9 bilion); gas asli cecair (+RM3.8 bilion); minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit (+RM3.7 bilion); jentera, peralatan dan alat ganti (+RM1.4 bilion); petroleum mentah (+RM1.4 bilion) dan pembuatan logam (+RM1.0 bilion),” katanya.

Bagi import, penyumbang utama diterajui oleh Singapura dengan nilai peningkatan RM8.8 bilion, diikuti China (+RM5.8 bilion), Taiwan (+RM3.6 bilion), AS (+RM2.8 bilion), EU (+RM2.4 bilion), Arab Saudi (+RM2.1 bilion), Indonesia (+RM2.0 bilion) dan Australia (+RM1.9 bilion).

“Kenaikan import dicatatkan bagi produk petroleum (+RM11.7 bilion); Produk E&E (+RM9.3 bilion); kelengkapan pengangkutan (+RM2.6 bilion); petroleum mentah (+RM2.6 bilion); jentera, peralatan dan alat ganti (+RM2.1 bilion); kimia dan bahan kimia (+RM1.9 bilion) dan emas, bukan kewangan (+RM1.8 bilion),” katanya.

Berdasarkan bulan ke bulan, prestasi jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan perdagangan menunjukkan peningkatan, masing-masing sebanyak 18.4 peratus, 21.3 peratus, 15.2 peratus dan 72.7 peratus berbanding Mei 2022.

Jumlah perdagangan bagi suku kedua 2022 meningkat 32.7 peratus tahun ke tahun kepada RM730.4 bilion dengan eksport melonjak 30.0 peratus kepada RM394.2 bilion dan import berkembang 36.1 peratus kepada RM336.1 bilion.

“Ini merupakan nilai suku tahunan tertinggi bagi jumlah perdagangan, eksport dan import setakat ini. Lebihan dagangan sebanyak RM58.1 bilion dicatatkan bagi tempoh itu, menguncup sebanyak 10.6 peratus,” tambahnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon