Jumlah perdagangan Malaysia kekal kukuh dalam RMK-11 meskipun persekitaran mencabar - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Jumlah perdagangan Malaysia kekal kukuh dalam RMK-11 meskipun persekitaran mencabar

Jumlah perdagangan Malaysia kekal kukuh dalam RMK-11 meskipun persekitaran mencabar

27 Sep 2021

Jumlah perdagangan negara kekal kukuh semasa Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) berkembang empat peratus setahun meskipun persekitaran luaran yang mencabar.

Eksport kasar Malaysia berkembang sebanyak  4.8 peratus setahun sepanjang rancangan pembangunan lima tahun itu, disokong terutamanya oleh barangan pembuatan yang menyumbang 86.4 peratus daripada jumlah eksport pada 2020.

“Eksport barangan pembuatan meningkat sebanyak 6.3 peraus setahun, dipacu oleh produk elektrik dan elektronik (E&E), kimia, peralatan optik dan saintifik serta getah.

“Penggunaan meluas  semikonduktor dalam industri automotif, peranti perubatan dan elektronik pengguna terus menjana permintaan kukuh terhadap produk E&E,” demikian menurut dokumen Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE) hari ini.

Menurut dokumen itu, bahagian 10 destinasi eksport utama bagi barangan Malaysia meningkat daripada 70.9 peratus pada 2015 kepada 71.7 peratus pada 2020 dengan China, Hong Kong, Amerika Syarikat dan Vietnam menyumbang bahagian yang besar.

Bagaimanapun, cabaran utama kepada perdagangan negara adalah peningkatan ketegangan perdagangan antara ekonomi utama, kejatuhan harga minyak mentah, kitaran menurun teknologi global dan pandemik COVID-19 pada 2020.

Sementara itu, eksport barangan pertanian meningkat sebanyak 1.3 peratus setahun semasa RMK-11, disokong terutamanya oleh produk berasaskan minyak sawit dan sawit yang berkembang 2.7 peratus setahun.

Eksport barangan perlombongan turun 6.5 peratus disebabkan terutamanya pendapatan eksport rendah daripada petroleum mentah dan gas asli cecair.

Import kasar meningkat pada purata kadar tahunan tiga peratus, disokong oleh barangan perantaraan dan penggunaan serta eksport semula, manakala import barangan perantaraan naik sebanyak 1.1 peratus setahun sejajar dengan prestasi berdaya tahan eksport pembuatan. 

Secara keseluruhannya, ia berkata, dengan peningkatan eksport kasar mengatasi import kasar, lebihan perdagangan meningkat kepada RM184.8 bilion pada 2020, berbanding RM91.6 bilion pada 2015.

Menurut dokumen tersebut, semua sektor, kecuali perlombongan dan pembinaan, mencatatkan pertumbuhan positif, dengan sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi semasa RMK-11, manakala sektor perlombongan merosot disebabkan gangguan pengeluaran.

Sektor perkhidmatan berkembang pada kadar purata tahunan sebanyak 3.8 peratus, dipacu oleh pengangkutan, penyimpanan, komunikasi serta subsektor borong dan runcit, yang disokong oleh penggunaan domestik yang berterusan.

Sektor pembuatan meningkat pada kadar purata tahunan sebanyak 3.3 peratus, dengan pertumbuhan didorong oleh industri berorientasikan eksport, terutamanya E&E yang tumbuh 5.6 peratus setahun, manakala petroleum, kimia, dan subsektor getah dan plastik meningkat kepada 2.8 peratus setahun.

Semasa RMK-11, semua negeri mencatatkan pertumbuhan yang positif dengan  Selangor, Kuala  Lumpur, Johor dan  Sarawak kekal menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara pada 2020.

“Negeri-negeri ini menyumbang sebanyak 59.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding  57.9 peratus pada 2015,” katanya dan menambah Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Perak, Kedah, Johor dan Negeri Sembilan mencatatkan pertumbuhan ekonomi melebihi kadar purata kebangsaan sebanyak 2.7 peratus setahun.

Menurut dokumen itu, pertumbuhan dalam kebanyakan negeri ini didominasi oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan, manakala kebanyakan negeri  yang mencatatkan pertumbuhan di bawah purata kebangsaan bergantung kepada komoditi.

Perbelanjaan swasta terus memacu perkembangan permintaan domestik, dengan penggunaan swasta meningkat sebanyak 4.7 peratus setahun semasa RMK-11, didorong oleh dasar monetari yang akomodatif, keadaan pasaran buruh yang baik dan pertumbuhan upah stabil.

“Walaupun terjejas disebabkan pandemik COVID-19, penggunaan swasta kekal berdaya tahan, disokong oleh langkah rangsangan seperti Bantuan Prihatin Nasional, moratorium pinjaman dan pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pelaburan swasta mencatat penurunan 11.9 peratus pada 2020 disebabkan pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan dan sentimen pelabur yang lembap, manakala pelaburan langsung asing juga mencatatkan penurunan daripada RM39.4 bilion pada 2015 kepada RM32.4 bilion pada 2019.

Pelaburan awam pula merosot sebanyak 7.9 peratus setahun semasa RMK-11, sebahagiannya disebabkan oleh penangguhan dan pengutamaan semula projek mega termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), manakala penggunaan awam meningkat 3.2 peratus setahun, disokong oleh perbelanjaan kerajaan bag emolumen serta penawaran dan perkhidmatan.

Menurut dokumen itu, Malaysia terus memperkukuhkan daya tahan ekonominya melalui pelaksanaan pelbagai langkah sejak lima tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun, beberapa isu utama masih wujud, termasuk  produktiviti yang rendah dalam  kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, kualiti pelaburan rendah, peralihan ekonomi struktur yang perlahan, jurang pembangunan yang luas antara negeri-negeri dan pampasan pekerja yang rendah.

Ia juga termasuk keuntungan terhad daripada penyertaan rantaian nilai global, gangguan pengukuhan fiskal jangka sederhana dan juga impak buruk ke atas alam sekitar ekoran pembangunan yang tidak mapan.

“Cabaran ini boleh mempengaruhi prestasi ekonomi negara dengan ketara. Sehubungan itu, strategi makroekonomi di bawah RMK-12 akan terus memberi tumpuan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan, ” kata dokumen itu.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon