JPDC raih komitmen pelaburan lebih RM5 bilion - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


JPDC raih komitmen pelaburan lebih RM5 bilion

JPDC raih komitmen pelaburan lebih RM5 bilion

20 Apr 2023

Johor Petroleum Development Corp Bhd (JPDC) memperoleh pelaburan komited bernilai lebih RM5 bilion dalam fasa dua Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di tengah-tengah pemulihan pasca-COVID19.

Sehingga 6 April 2023, pelaburan komited dalam fasa dua PIPC berjumlah RM5.05 bilion berbanding sasaran 2021 JPDC untuk menarik pelaburan baharu bernilai RM5 bilion ke pembangunan yang meliputi antara tahun 2020 hingga 2025 itu.

Pemangku Ketua Eksekutif Izhar Hifnei Ismail berkata agensi itu pada masa ini sedang memudahkan dan membantu beberapa bakal pelabur dalam kajian kebolehlaksanaan mereka ke arah mewujudkan perniagaan hiliran minyak dan gas serta petrokimia mereka di PIPC.

“Untuk fasa dua ini, kita sudah mula fokus kepada pembukaan kawasan industri baharu seperti Taman Perindustrian Pengerang (Pengerang Industrial Park) oleh Johor Corporation. Kemudian kita bawa masuk peserta lain seperti LG Chem Ltd dari Korea Selatan yang membuat usaha sama bersama PETRONAS.

“Semua aktiviti ini sama ada berkait langsung dengan penyeliaan kawasan industri, petrokimia ataupun aktiviti sokongan akiviti hiliran minyak dan gas ataupun petrokimia,” kata Izhar Hifnei.

PIPC ialah pembangunan 25 tahun antara 2013 dan 2037 yang membabitkan empat fasa.

Fasa satu (2013-2019) menyaksikan dua projek pemangkin yang sedang dibangunkan.

Terminal Air Dalam Pengerang ialah kemudahan penyimpanan minyak dan produk petroleum dengan kapasiti sehingga 5.0 juta meter padu, disokong oleh jeti air dalam. Ia dibangunkan oleh Dialog Group Bhd dengan pelaburan sebanyak RM14.71 bilion.

Projek lain ialah Kompleks Bersepadu Pengerang yang terdiri daripada kemudahan penapisan dan petrokimia serta kemudahan sokongan yang dibangunkan oleh PETRONAS dengan pelaburan AS$27 bilion.

Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Johor juga telah membangunkan infrastruktur kritikal dan kemudahan sosial dalam PIPC bernilai lebih RM3 bilion untuk menyokong pertumbuhan industri.

Izhar Hifnei berkata dengan pertumbuhan pesat teknologi hijau dan kemampanan, JPDC menggalakkan pelaburan baharu dalam fasa kedua PIPC untuk mempunyai rancangan kemampanan yang kukuh dan nyata.

Beliau menjelaskan bagi syarikat-syarikat ini melabur dan meningkatkan modal mereka, pembiaya mereka akan sentiasa meneliti dan menilai cadangan projek selaras dengan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Untuk mencapai semua ini, kami telah menemui banyak cadangan baharu untuk membawa masuk teknologi yang mengambil kira untuk menghasilkan jejak karbon yang lebih rendah, contohnya. Teknologi itu tersedia dan sememangnya kami menggalakkan pelabur yang ingin menggunakan teknologi sedemikian untuk PIPC,” tambahnya.

Pelaburan baharu itu kebanyakannya dari Eropah dan Asia.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon