B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Johor akan perluas konsep ‘Kulai Fast Lane’ ke daerah lain

Johor akan perluas konsep ‘Kulai Fast Lane’ ke daerah lain

20 Okt 2022

Johor akan berusaha untuk memperluaskan konsep Kulai Fast Lane ke daerah lain, satu langkah yang berupaya menggalakkan lebih ramai pelabur ke negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata inisiatif itu, yang diperkenalkan oleh Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) bagi mengurangkan kerenah birokrasi dan memudahkan pelabur menubuhkan perniagaan, telah berjaya dan akan dinamakan semula sebagai Johor Fast Lane.

“Ini adalah komitmen kerajaan negeri dalam memastikan Johor mesra pelabur dan perniagaan. Kami mengalu-alukan semua orang dari seluruh dunia ke negeri ini,” katanya pada perasmian Fasa Satu Bridge Data Centres (BDC) di Pusat Teknologi Sedenak di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Datuk Wira Arham Abdul Rahman dan CEO Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Mahadhir Aziz.

Onn Hafiz berkata memandangkan Johor berhasrat untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030, kerajaan negeri telah berusaha setiap masa untuk memastikan negeri itu bukan sahaja bersedia dari segi infrastruktur malahan memastikan keperluan asas dipenuhi.

“Ini bagi memastikan pelabur dan rakyat terus selesa di negeri ini. Jalan raya kami, utiliti seperti air semuanya adalah standard antarabangsa, jadi pelabur merasakan negeri ini akan terus menyokong pertumbuhan mereka,” kata ADUN Machap itu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata beberapa minggu akan datang penting bagi rakyat Malaysia termasuk rakyat Johor kerana mereka akan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15, yang dijadualkan pada 19 Nov.

Beliau berkata sebarang keputusan yang dibuat dalam minggu-minggu akan datang bakal memberi kesan langsung kepada Johor.

“Johor telah mencatatkan pelaburan bernilai RM60.9 bilion, yang tertinggi direkodkan di negara ini untuk 2022. Pada pendapat saya, selain sokongan daripada kerajaan persekutuan, ini adalah kerana kestabilan (negeri),” katanya lagi.

Mengenai BDC, ia merupakan syarikat pertama dianugerahkan status Digital Malaysia untuk menyiapkan pembinaan dan penyerahan pusat data skala besar sedia untuk perniagaan pada tahun 2022. Pusat data itu siap dibina dalam masa kira-kira 2.2 juta jam bekerja (314 hari) sejak majlis pecah tanah pada November 2021.

Fasa 1 pusat data terdiri daripada bangunan pertama daripada tiga bangunan dalam projek pusat data skala besar 110 megawatt yang berkeluasan 15.4 hektar.

ByteDance, yang merupakan syarikat induk TikTok, akan menjadi penyewa utama di pusat data skala besar BDC dengan komitmen pelaburan jangka panjang di negara ini. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon