Caely rancang bina kilang pakaian dalam wanita di Indonesia - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Caely rancang bina kilang pakaian dalam wanita di Indonesia

Caely rancang bina kilang pakaian dalam wanita di Indonesia

21 Okt 2022

Caely Holdings Bhd (Caely) merancang mengembangkan segmen pembuatan pakaian dalam wanita ke Indonesia menerusi usaha sama dengan syarikat di republik itu bagi mewujudkan kemudahan pengeluaran baharu.

Pengarah Eksekutifnya, Leong Seng Wui, berkata pelan pengembangan operasinya ke Indonesia itu dijangka dapat menjana pendapatan tambahan kepada kumpulan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, Caely memulakan lembaran baharu untuk bergerak ke hadapan dengan pelantikan ahli Lembaga Pengarah baharu, sekali gus membuka peluang untuk syarikat melangkah ke hadapan bagi rancangan perniagaan.

Katanya, langkah mengembangkan operasi ke Indonesia tidak membabitkan pelaburan besar iaitu sekitar AS$800,000 (RM3.8 juta) dengan separuh daripadanya akan digunakan untuk perbelanjaan berkaitan mesin.

“Dengan berbuat demikian (perlantikan ahli Lembaga Pengarah baharu), Caely memiliki rancangan mengembangkan segmen pembuatan dengan cadangan untuk melaksanakan usaha sama dengan syarikat tempatan di Indonesia.

“Pada masa ini, perbincangan sedang dijalankan dengan syarikat berkenaan. Selepas semuanya dimuktamadkan, ia bakal menjadi babak baharu kepada Caely,” katanya pada sidang media pengenalan ahli Lembaga Pengarah syarikat itu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Caely, Ng Keok Chai; Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Caely, Datuk Mior Faridalathrash, Datuk Kang Chez Chiang dan Chong Seng Ming; serta Pengarah Eksekutif Caely, Kenny Khow Chuan Wah.

Seng Wui berkata, Caely juga sedang meninjau untuk menyusun semula hala tuju syarikat dengan mengenal pasti dan mengambil pakar pasaran dalam segmen pembangunan hartanah bagi memulihkan perniagaan.

“Dengan tambahan simpanan tanah di Tapah dan Lembah Klang, kami akan mengambil pakar dalam sektor pembangunan hartanah untuk mengenal pasti projek berpotensi yang akan menyumbang secara positif kepada kumpulan. Ia juga termasuk pemerolehan masa depan untuk meningkatkan perniagaan keseluruhan Caely,” katanya.

Sementara itu, Keok Chai berkata, ahli Lembaga pengarah baharu akan menyokong penuh dan bekerjasama dengan polis untuk siasatan dan melakukan yang terbaik untuk memulihkan sebaik mungkin untuk faedah syarikat dan pemegang sahamnya.

“Selain itu, (juruaudit forensik) Virdos Lima akan dapat meneruskan siasatan mereka dengan sokongan daripada Lembaga Pengarah baharu termasuk menyediakan dokumentasi yang diperlukan yang relevan untuk siasatan mereka sebaik yang mungkin.

“Sekali lagi, kami tidak akan membiarkan sebarang masalah timbul dan siasatan penuh dapat dijalankan hingga ke dasarnya,” katanya.

Sejak Februari lalu, Caely terbabit dalam kes perundingan berkaitan penyelewengan dana yang membabitkan Pengasas dan bekas Pengarah Eksekutif Caely, Datin Fong Nyok Yoon dan suaminya, Datuk Alan Chuah Chin Lai serta bekas ahli Lembaga Pengarah kumpulan.

Pasangan itu, didakwa menyeleweng RM30.55 juta daripada Caely (M) Sdn Bhd (CMSB) menerusi 10 transaksi pihak berkaitan yang boleh dipersoalkan.

Pada 26 Ogos lalu, perubahan dalam Lembaga Pengarah berlaku apabila keseluruhan bekas ahli Lembaga Pengarah, tidak termasuk Nyok Yoon telah disingkirkan.

Pada 5 Oktober lalu, ahli Lembaga Pengarah baharu telah membuat laporan polis meminta siasatan dijalankan terhadap sebarang dakwaan penyelewengan dana berjumlah RM30.55 juta membabitkan CMSB sepanjang tempoh jawatan ahli lembaga pengarah terdahulu.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon