B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Jiankun teroka pengeluaran getah nitril

Jiankun teroka pengeluaran getah nitril

22 Dis 2020

Pemaju hartanah Jiankun International Bhd menceburkan diri dalam pengeluaran getah nitril seiring peningkatan industri sarung tangan getah menerusi kerjasamanya dengan Chuanplus Industries Sdn Bhd.

Rakan kongsi tersebut akan menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) untuk membina kilang pengeluaran di Klang, Selangor, dengan pelaburan berjumlah RM120 juta.

Daripada jumlah tersebut, RM50 juta akan digunakan bagi pembelian mesin, pemasangan dan peralatan manakala RM70 juta digunakan bagi kos pengambilalihan tanah.

Jiankun, yang akan memegang 80 peratus saham dalam SPV itu, akan bertanggungjawab untuk mengumpul dana manakala Chuanplus akan menyediakan kepakaran pengeluaran.

Menurut Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang dilantik sebagai Pengerusi Jiankun berkuat kuasa hari ini, penglibatan itu diharapkan dapat meningkatkan pendapatan Jiankun.

“Saya harap (usaha) ini akan memacu aktiviti ekonomi untuk kepentingan kedua-dua pihak,” kata bekas Peguam Negara itu ketika majlis menandatangani perkongsian tersebut di sini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Chuanplus Chuan Tuck Soon berkata usaha sama itu menjadikan mereka sebagai pengeluar getah nitril ketiga di negara ini.

Pada masa ini, hanya satu syarikat tempatan yang mula mengeluarkan getah nitril, menyumbang 30 peratus bekalan di Malaysia, manakala 70 peratus lagi bersumber dari luar negara.

Chuan berkata usaha sama Jiankun-Chuanplus akan memulakan pengeluaran pada 2022.

“Jika semuanya berjalan seperti yang dirancang, dianggarkan selepas tahun pertama pengeluaran, nilai perolehan kontrak akan mencapai sehingga RM175 juta,” kata Chuan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Jiankun mengumumkan bahawa Pengerusi Eksekutifnya Datuk Lim Siang Chai dilantik semula sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif berkuat kuasa hari ini.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu telah menjadi Pengerusi Eksekutif syarikat tersebut sejak Julai 2013.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon