B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Bosch siap satu daripada pemasangan sistem PV atas bumbung terbesar Malaysia di Pulau Pinang

Bosch siap satu daripada pemasangan sistem PV atas bumbung terbesar Malaysia di Pulau Pinang

22 Dis 2020

Syarikat teknologi yang berpangkalan di Jerman, Bosch mengumumkan penyiapan satu daripada pemasangan sistem fotovoltaik solar (PV) atas bumbung terbesar di Malaysia di loji elektronik automotifnya di Pulau Pinang.

Menerusi kenyataan hari ini, Bosch berkata, kemudahan kuasa 3MWp baharu itu merangkumi 24,500 meter persegi ruang atas bumbung, bersamaan 3.5 padang bola sepak dengan standard FIFA.

“Melalui kerjasama dengan penyedia tenaga solar Blueleaf Energy, 4,500 MWh tenaga tambahan yang dijana (daripada pemasangan sistem PV solar) dijangka mengurangkan pelepasan 3,000 tan karbon dioksida  setahun.

“Ini diterjemahkan kepada sumbangan alam sekitar yang penting daripada loji ini, bersamaan penggunaan tenaga 1,300 isi rumah di Malaysia pada setiap tahun atau 700 kereta yang dipandu pada setiap tahun,” katanya.

Katanya, Bosch mengkhususkan bahagian atas bumbung berkeluasan 24,500 meter persegi bagi 7,500 panel solar manakala Blueleaf Energy terbabit dalam merekabentuk dan melaksanakan loji solar itu dan akan memiliki dan menguruskan aset PV.

Greencells Energy Asia Pacific, anak syarikat German Greencells Group iaitu penggiat utama tenaga hijau turut serta dalam projek berkenaan sebagai kontraktor kejuruteraan, perancangan dan pembinaan.

“Sistem ini dirancang dan dikendalikan di bawah Perjanjian Belian Tenaga berdasarkan penggunaan sendiri dan mencipta peluang mengeksport semula lebihan tenaga ke grid. Setakat ini, pemasangan Bosch di loji elektronik automotifnya merupakan sistem solar terbesar di Pulau Pinang di bawah Skim Pemeteran Tenaga Bersih,” katanya.

Pengarah Urusan Teknikal Loji Elektronik Automotif Bosch di Malaysia Dr Siegfried Skirl berkata Bosch telah mengambil langkah progresif ke arah mencapai keneutralan karbon.

Beliau berkata ia akan meneruskan pemasangan sistem solar PV di Malaysia berikutan kesinaran suria yang tinggi pada sepanjang tahun ini.

“Kami gembira dapat mencapai kejayaan ini menerusi tindakan iklim kami meskipun berlaku sekatan pergerakan, larangan perjalanan dan beberapa cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini akibat pandemik,” katanya sambil memaklumkan 18 peratus daripada penggunaan tenaga loji itu memanfaatkan matahari.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon