B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ipoh bandar pintar keempat di Malaysia menjelang 2030: MB

Ipoh bandar pintar keempat di Malaysia menjelang 2030: MB

23 Mac 2021

Bandaraya Ipoh bakal menjadi Bandar Pintar atau ‘Smart City’ yang keempat di negara ini selepas Kuala Lumpur, Putrajaya dan Petaling Jaya menjelang 2030 dengan konsep berbeza iaitu Manusia, Infrastruktur dan Alam Sekitar.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Majlis Bandaraya Ipoh dan PlanMalaysia serta beberapa agensi untuk memberi dimensi segar kepada hala tuju pembangunan selain penanda aras baharu kepada pembangunan bandar-bandar lain di negeri ini.

“Beberapa objektif telah distruktur untuk menjadikan Ipoh sebagai bandaraya yang mesra dengan penggunaan teknologi maklumat, menyelesaikan masalah perbandaran melalui penggunaan smart solution selain menjadikan warga Ipoh ceria, sihat, pintar dan mempunyai kemahiran berteknologi tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pelancaran Ipoh Smart City 2030 di sini semalam yang turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.

Jelasnya, dokumen Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh menyasarkan kepada tujuh domain iaitu Kehidupan Pintar, Persekitaran Pintar, Tadbir Urus Pintar, Warga Pintar, Infrastruktur Digital Pintar, Ekonomi Pintar dan Mobiliti Pintar sebagai penyelesaian kepada 24 cabaran perbandaran dan potensi yang telah dikenal pasti di Bandaraya Ipoh.

Menurut Saarani, kerajaan negeri telah mengadakan kerjasama bersama Telekom Malaysia untuk meningkatkan kelajuan internet daripada 100MB kepada 1GB melalui Pelaksanaan Projek Fiber Optik UNIFI dengan permulaan pelaksanaan di Pusat Bandar Ipoh yang dapat menyokong inisiatif pintar yang dilaksanakan.

“Selain itu, saya berharap pelan ini akan menjadi pemangkin kepada perancangan lebih besar MBI pada masa hadapan, termasuklah melaksanakan sistem pengurusan bandar secara automatik terutamanya dalam sistem trafik, sistem mengenal pasti kekosongan parkir, info cuaca, bencana atau banjir kilat, kutipan sampah, pengurusan saman dan aduan.

“Usaha ke arah tersebut telah mula dilaksanakan di peringkat awal dalam beberapa perkhidmatan seperti Park@Perak, e-Aduan, Bayaran Online, Permohonan Online, dan Pemantauan Bandar Selamat melalui CCTV,” katanya.

Terdahulu, Saarani menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani Rumaizi bersama Universiti Sultan Azlan Shah bagi kajian Ipoh Bandaraya Bestari Sejahtera, MoU bersama Tenaga Nasional Berhad untuk pemasangan bumbung Panel Solar di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak dan MoU bersama Sunway untuk cadangan menaik taraf sebahagian kawasan Tambun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Retail TNB Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan pada sidang media majlis itu berkata pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) di bangunan UTC Perak dianggarkan mampu memberi penjimatan sehingga RM2.5 juta untuk MBI bagi tempoh 21 tahun kontrak Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE).

“Manfaat penggunaan panel solar PV ini bukan sahaja bertepatan dengan usaha MBI untuk mencapai matlamat menjadi bandar raya pintar lestari yang lebih bersih, hijau dan lebih maju malah mereka mampu menjimatkan RM47,964 bil elektrik pada tahun pertama projek,” katanya.

Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah yang turut hadir pada majlis itu berkata pihaknya bercadang untuk mengeluarkan kos sebanyak RM2 bilion untuk membangunkan sebahagian kawasan Tambun dalam tempoh tujuh tahun.

“Kami sedang membina beberapa bangunan termasuk pusat perubatan, kampus universiti, pusat beli-belah dan sebagainya jadi kami berharap dapat menarik lebih ramai pengunjung untuk singgah dan menikmati kemudahan dan perkhidmatan yang kami tawarkan,” tambahnya. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon