B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


IPO: Yenher sasar perluas operasi luar negara

IPO: Yenher sasar perluas operasi luar negara

22 Jun 2021

Yenher Holdings Bhd menyasar rancangan untuk mengembangkan operasinya meliputi pasaran luar negara seperti Myanmar, Bangladesh dan China akan tercapai dalam tempoh 24 bulan selepas penyenaraian kumpulan itu di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 15 Julai ini.

Pengarah Urusan Kumpulan, Cheng Mooh Tat, berkata dengan disokong oleh jumlah penduduk yang besar di negara-negara membangun seperti Myanmar dan Bangladesh, kumpulan itu mempunyai kelebihan untuk meningkatkan pengeluaran ternakan di negara-negara berkenaan.

“Walaupun terdapatnya beberapa ketidakpastian politik di Myanmar sejak beberapa bulan lepas, kami terus mengawasi keadaan ini dengan teliti dan akan menilai keadaan sebelum memasuki pasaran,” katanya dalam sidang media secara maya sempena pelancaran prospektus syarikat itu hari ini.

Kumpulan ini terbabit terutamanya dalam pembuatan dan pengedaran produk kesihatan dan pemakanan nutrisi haiwan.

Ia juga menyediakan perkhidmatan analisis diagnostik dan bahan tambah nilai serta perkhidmatan perundingan percuma untuk pelanggannya.

Cheng berkata dengan mengambil kira pengalaman dan kejayaannya dalam industri makanan tempatan selama lebih 30 tahun dan berdasarkan kajian yang menunjukkan permintaan untuk ternakan yang semakin meningkat di tahun-tahun mendatang, kumpulan itu optimis mampu bersaing di China kerana ia turut memiliki kelebihan dari segi komunikasi di pasaran China.

Pada masa ini, eksport Yenher ke 11 negara termasuk Indonesia, Hong Kong, Brunei, Belgium, Pakistan, Korea Selatan, Nigeria, Thailand dan Vietnam adalah sekitar 10 peratus daripada jumlah penjualan.

Kumpulan ini mempunyai dua kilang pembuatan, makmal dalaman untuk penyelidikan dan pembangunan dengan kira-kira 140 pekerja yang berpusat di Pulau Pinang.

Ia juga mempunyai cawangan di Taichung, Taiwan dan melantik satu pengedar masing-masing di Korea Selatan dan Pakistan pada tahun 2020.

Sementara itu, pelancaran prospektus itu bersempena dengan tawaran awam permulaan (IPO) Yenher sebanyak 106.19 juta saham pada harga terbitan 95 sen sesaham.

IPO itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 64.43 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan sehingga 41.76 juta saham sedia ada. Sebaik sahaja disenaraikan di Bursa Malaysia, permodalan pasaran Yenher dianggarkan berjumlah RM285 juta.

Sebanyak RM61.21 juta akan dikumpul menerusi IPO berkenaan dengan RM31 juta daripada perolehan kasar akan digunakan untuk pembinaan kilang pembuatan baharu dengan pematuhan Amalan Pengilangan Baik (GMP); RM9.7 juta untuk pembelian mesin dan peralatan baharu; RM16 .71 juta untuk tujuan modal kerja dan selebihnya RM3.8 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

“Kilang pembuatan baharu itu dijangka memulakan pengujian dan pengoperasian pada suku pertama 2023 dan beroperasi sepenuhnya pada suku keempat 2023,” kata Cheng.

Dengan siapnya kilang pembuatan baharu berserta dengan segala mesin dan peralatan, kumpulan ini mampu meningkatkan kapasiti pengeluarannya dan bersedia untuk memenuhi permintaan yang tinggi untuk produk syarikat.

“Dengan status penyenaraian ini, ia akan melonjakkan profil dan imej korporat serta meningkatkan kesedaran jenama produk dan seterusnya memperluas jangkauan pasaran kami. Ini pastinya dapat membantu Yenher menarik pelanggan baru dan mengembangkan pangkalan pelanggan kami,” tambahnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon