B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Infineon Technologies kembang pangkalan pembuatan di Malaysia tahun depan – Azmin

Infineon Technologies kembang pangkalan pembuatan di Malaysia tahun depan – Azmin

21 Okt 2021

Infineon Technologies, pengeluar semikonduktor global dari Jerman akan memindahkan pengeluaran silikon karbida dan epitaksi nitrida galliumnya ke Taman Teknologi Tinggi Kulim serta mengembangkan pangkalan pembuatannya di Malaysia tahun depan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata syarikat itu baru-baru ini juga mengumumkan pelaburan berkaitan dengan pengembangannya yang bernilai RM11.53 bilion di seluruh dunia bagi tahun fiskal 2022.

“Hasrat ini dinyatakan dalam satu mesyuarat bersempena dengan Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke Stuttgart, Jerman pada 14 Okt, 2021,di mana saya bertemu dengan Jochen Hanebeck, ketua pegawai operasi Infineon Technologies dan menyerahkan kepada beliau surat tawaran daripada kerajaan yang menunjukkan minat negara untuk menyokong dan memudahkan pelan pelaburan selanjutnya Infineon.

“Ketika ini, Malaysia merupakan satu daripada hab serantau utama Infineon Technologies yang telahpun melabur sebanyak RM20 bilion dengan operasi pembuatan semikonduktor bersepadunya. Nilai pengembangan ini akan diumumkan apabila tiba waktunya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Azmin berkata Infineon juga melahirkan hasrat untuk terus menjadi rakan strategik kepada Malaysia dalam mempercepat pertumbuhan industri elektrik dan elektronik, terutamanya ke arah meningkatkan rantaian nilai dalam bahagian pembungkuasan, pengujian litar bersepadu dan pemprosesan wafer.

Menurutnya, pengumuman itu juga sejajar dengan pelan jangka panjang syarikat itu untuk meningkatkan pelaburan sebanyak 50 peratus dalam tahun fiskal 2022 bagi menampung peningkatan permintaan yang disokong oleh pemacu pertumbuhan seperti pengelektrikan dan pendigitalan sektor di seluruh dunia.

Beliau berkata ini akan dapat meningkatkan perolehan Infineon, menyokong keunggulan Malaysia sebagai satu daripada hab semikomduktor utama dan terbesar di rantau ini.

“Sudah tentunya, ini merupakan bukti jelas ekosistem kita yang kondusif dan keupayaan tenaga kerja tempatan untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang mereka.

“Pengembangan ini sudah pastinya akan membawa kepada pewujudan pekerjaan berkualiti tinggi dan keupayaan teknologi khusus yang mana kerajaan akan terus bekerjasama rapat dengan Infineon Technologies dalam memperkenalkan langkah-langkah strategik bagi mengukuhkan pertumbuhan kita,” kata Mohamed Azmin.

Pada masa hadapan, katanya, kerajaan akan memastikan persekitaran kondusif bagi peneraju semikonduktor global untuk menggerakkan rantaian nilai menerusi penerimagunaan teknologi canggih dan pengeluaran produk canggih baharu.

Sehubungan itu, katanya, industri elektrik dan elektronik telah dikenal pasti sebagai satu daripada industri strategik dan berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang akan memangkinkan pertumbuhan ekonomi negara.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon