B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Industri logistik Malaysia masih ada ruang yang perlu diperbaiki – LPN

Industri logistik Malaysia masih ada ruang yang perlu diperbaiki – LPN

21 Jul 2022

Nexus Produktiviti Logistik (LPN) akan menangani isu-isu yang berkaitan dengan industri logistik dan memastikan ianya mempunyai infrastruktur bertaraf dunia sambil meningkatkan pengetahuan setempat untuk membawa perubahan dalam industri tempatan, kata presidennya Datuk Seri Michael Tio.

Industri logistik di Malaysia mempunyai banyak ruang untuk penambahbaikan agar ianya mampu menjadi destinasi logistik pilihan di ASEAN, dan Malaysia mempunyai infrastruktur yang komprehensif bagi industri itu berkembang kerana disokong oleh sambungan darat, laut dan udara yang baik. 

Bagaimanapun, masih banyak lagi aspek yang perlu diperbaiki, katanya.

“Ketidakpadanan antara institusi serta peraturan, kesesakan di sempadan, aktiviti rantaian bernilai rendah, kekurangan tenaga kerja dan tidak mahir adalah beberapa isu yang perlu ditangani,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) hari ini. 

Salah satu pelaksanaan utama yang akan dilaksanakan oleh jawatankuasa pentadbir ialah pengenalan penunjuk prestasi utama (KPI) bagi pelbagai pihak berkepentingan LPN termasuk strategi pelaksanaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kami akan melaporkan kemajuan serta hasil kami secara berkala supaya pihak berkepentingan dan pemain industri dapat menjejaki transformasi tersebut. Kami berharap dengan kemajuan, kami dapat mengubah persepsi pemain tempatan dan asing mengenai kedudukan logistik negara ini.

“Mungkin, industri tempatan juga boleh menerima perubahan ini untuk meningkatkan diri agar setanding dengan pemain global yang telah bertapak di Malaysia. Transformasi tidak mendadak tetapi ini boleh dilakukan secara bersama dan seterusnya mencapai KPI kami,” katanya.

Sejajar dengan pelaksanaan KPI, LPN akan bekerjasama rapat dengan pelbagai pemegang kepentingan dalam pendidikan dengan menawarkan kursus berkaitan logistik untuk membina komuniti logistik yang berpengetahuan serta memiliki pemikiran bertaraf global.

Institusi seperti Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaysia Kelantan terlibat untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif ini.

Beliau berkata cadangan telah dikemukakan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) Malaysia. 

Ini merangkumi tindakan mengurangkan kuasa pihak berkuasa bagi menetapkan kadar pengangkutan untuk memastikan persaingan harga, menghapuskan kriteria yang tidak perlu semasa pembaharuan lesen dan memperkenalkan syarat yang jelas kepada pemohon untuk pengangkutan maritim dalam usaha mengurangkan kos serta memudahkan kemasukan pasaran.

“Dengan pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan untuk tahun-tahun akan datang, diunjurkan bahawa sumbangan sektor logistik kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) akan meningkat kepada 6.5 peratus menjelang 2030 dan jumlah tenaga kerja logistik mencecah satu juta pada tahun yang sama,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon