B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Industri automotif APEC percepat penggunaan kenderaan berteknologi baharu

Industri automotif APEC percepat penggunaan kenderaan berteknologi baharu

16 Mei 2022

Anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) sedang mempergiat penyelarasan untuk membangunkan langkah yang menggalakkan penggunaan kenderaan berteknologi baharu dalam usaha memenuhi komitmen iklim dan merealisasikan Visi Putrajaya 2040.

Ketika berucap pada Dialog Automotif APEC bagi edisi ke-35, Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Ekonomi Perindustrian Thailand, Krit Chansuwan berkata seiring dengan model ekonomi bio-kitaran-hijau (BCG) sebagai sebahagian daripada keutamaan APEC 2022, industri automotif rantau ini perlu memanfaatkan momentum itu.

Beliau berkata di samping itu industri ini juga perlu bergerak maju dengan komitmen pelepasan sifar bersih dan rendah untuk menyumbang kepada pemulihan ekonomi dan menangani kebimbangan alam sekitar global.

“Walaupun kenderaan elektrik telah menjadi penyelesaian yang dipercayai industri automotif untuk mencapai masa depan sifar bersih atau rendah karbon, kita perlu ingat setiap ekonomi APEC adalah unik, justeru, kita memerlukan pelbagai pendekatan untuk mencapai komitmen iklim kita.

“Pihak pembuat dasar dan peserta industri menyedari peranan penting suatu dasar kerana tanpanya, industri ini tidak akan dapat mempercepatkan penggunaan teknologi dan membuat peralihan yang diperlukan,” katanya.

Krit berkata ekonomi anggota APEC telah mencapai kemajuan yang ketara dalam peralihan kepada kenderaan elektrik sejak beberapa tahun lepas melalui pembangunan semula rejim kawal selia, piawaian lazim dan sasaran untuk menggalakkan peralihan kepada pilihan kenderaan rendah karbon.

“Lebih banyak yang perlu dilakukan memandangkan ekonomi anggota APEC bersaing untuk mencapai komitmen mereka dalam mengurangkan pelepasan karbon dioksida global sebanyak 45 peratus, daripada paras pada 2010, menjelang 2030.

“Pegawai dan pakar industri membincangkan dasar untuk mengurangkan harga kenderaan berteknologi baharu, antara lain meneliti kredit cukai, subsidi dan rebat,” katanya.

Beliau berkata mereka juga mengakui terdapat keperluan mendesak untuk memberi insentif kepada inovasi, penyelidikan dan pembangunan, pembuatan dan kitar semula komponen kenderaan berteknologi baharu seperti bateri dan semikonduktor.

Pegawai APEC dan wakil kanan industri automotif bersidang di sini untuk Dialog Automotif APEC bagi membincangkan manfaat kerjasama pengawalseliaan alam sekitar dan keselamatan kenderaan, penumpuan dan penyelarasan dalam memajukan kemudahan perdagangan serta menggalakkan kesalinghubungan di rantau ini.

Dialog Automotif APEC merupakan forum untuk industri dan kerajaan membincangkan pelbagai isu yang mempengaruhi perdagangan automotif.

Dialog itu akan terus bekerjasama dengan kumpulan APEC lain seperti Kumpulan Kerja Tenaga dan Kumpulan Kerja Pengangkutan untuk mengenal pasti dan menyepadukan pengangkutan mampan baharu dan baru muncul serta teknologi dan perkhidmatan mobiliti.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon