B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Industri aeroangkasa dijangka pulih seawal 2022

Industri aeroangkasa dijangka pulih seawal 2022

22 Apr 2021

Industri aeroangkasa diunjur pulih dan mencatatkan semula prestasi perolehan seperti sebelum pandemik seawal tahun depan, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, unjuran itu boleh dicapai sekiranya Malaysia terus memanfaatkan pakej kerja baharu yang memberi impak positif kepada keseluruhan ekosistem melalui penyetempatan produk.

“Pemulihan akan dipercepat jika industri dapat memperluas lagi perkhidmatan kargo udara, penerbangan perniagaan serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), di samping perkhidmatan latihan profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada webinar Airbus Malaysia Connect, semalam.

Beliau berkata, pandemik menjejaskan industri aeroangkasa Malaysia dengan perolehan keseluruhan merosot 20 hingga 30 peratus pada 2020 daripada perolehan RM16.22 bilion pada 2019.

Mohamed Azmin berkata, penerbangan komersial adalah subsektor yang paling terjejas teruk berikutan penutupan sempadan antarabangsa dan perintah kawalan pergerakan domestik.

Katanya, ini menyaksikan pembuatan aeroangkasa dan perniagaan MRO mengalami pesanan tertunda serta perkhidmatan penyelenggaraan yang tinggi.

“Kebanyakan aktiviti pembuatan dan perkhidmatan aeroangkasa terhenti sementara, manakala sebahagian pekerja diberhentikan atau diberikan cuti sementara berikutan larangan perjalanan di seluruh dunia selain pesawat komersial dan perniagaan tidak beroperasi.

“Memandangkan pembuat pesawat mengurangkan kadar pengeluaran buat sementara waktu untuk menyesuaikan operasi dengan persekitaran pasaran yang mengalami penyusutan, saya ingin memaklumkan bahawa ada kalangan mereka yang berada dalam ekosistem rantai bekalan memanfaatkan kelembapan permintaan untuk mengatur semula kewangan dalam pembangunan kemampuan dan teknologi baharu,” katanya.

Dalam melangkah maju, beliau menggesa komuniti aeroangkasa untuk terus menyesuaikan operasi mereka dan bersedia dengan apa sahaja yang mendatang.

“Ketika kita bergerak maju bagi merebut peluang baharu, amat penting untuk kerajaan dan pihak industri bekerjasama secara strategik untuk menjadikan sektor ekonomi penting ini kembali kukuh dan melonjak ke tahap pencapaian dan kecemerlangan baharu,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon