B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Indikator ekonomi utama papar momentum pemulihan berterusan – Jabatan Perangkaan

Indikator ekonomi utama papar momentum pemulihan berterusan – Jabatan Perangkaan

28 Jul 2022

Petunjuk atau indikator ekonomi utama terkini Malaysia memaparkan prestasi yang memberangsangkan dengan momentum pemulihan berterusan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata susulan itu, prestasi eksport Malaysia kekal kukuh pada Disember 2021 dengan nilai eksport melebihi RM100 bilion iaitu bulan keempat berturut-turut sejak September 2021, seiring dengan aktiviti ekonomi luaran dan domestik yang menggalakkan.

“Eksport pada Disember 2021 sekali lagi mencatat rekod baharu apabila mencecah RM123.8 bilion dan berkembang sebanyak 29.2 peratus bagi tahun ke tahun.

“Pada masa sama, import turut mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 23.6 peratus kepada RM92.9 bilion berbanding Disember 2020,” katanya dalam kenyataan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia Siri 1/2022 yang dikeluarkan hari ini.

Mengulas selanjutnya, Mohd Uzir berkata selaras dengan prestasi kukuh eksport dan import, jumlah dagangan turut melonjak sebanyak 26.8 peratus kepada RM216.7 bilion berbanding bulan sama dalam 2020, sekali gus menjadikan jumlah dagangan tertinggi pernah direkodkan iaitu RM2.2 trilion bagi 2021.

Beliau berkata prestasi Indeks Pelopor (IP) juga kekal positif pada November 2021 apabila meningkat kepada 111.3 mata daripada 109.4 mata pada November 2020 yang menunjukkan prestasi ekonomi Malaysia meningkat secara beransur-ansur daripada impak COVID-19. 

Jelas beliau, aktiviti ekonomi yang beroperasi berterusan akan mengukuhkan ekonomi domestik dan seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Namun begitu, cabaran dalam laluan pemulihan ekonomi dilihat mungkin berterusan dengan kehadiran varian baharu Omicron.

“Selain itu, bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini juga telah mengakibatkan sejumlah kerugian yang bersamaan 0.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar nominal Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon