B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Indeks pengeluaran industri dijangka pulih tahun ini

Indeks pengeluaran industri dijangka pulih tahun ini

08 Feb 2021

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia dijangka pulih pada tahun ini sejajar dengan peningkatan ekonomi global susulan pelaksanaan program vaksinasi COVID-19 secara besar-besaran.

IPP, petunjuk ekonomi bulanan yang mengukur pengeluaran sebenar dalam industri pembuatan, perlombongan, elektrik dan gas, mencatatkan penurunan sebanyak 4.2 peratus tahun ke tahun pada 2020.

Ini berikutan data yang lemah daripada semua indeks, iaitu perlombongan (-9.7 peratus), elektrik (-3.7 peratus) dan pembuatan (-2.7 peratus).

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata IPP yang dijangka pulih akan membolehkan aktiviti ekonomi disambung semula walaupun secara berhati-hati berdasarkan jumlah kes baharu yang kekal pada tahap tinggi.

“Selain itu, asas rendah yang dicatatkan pada tahun lalu bermakna sedikit peningkatan dalam pengeluaran yang akan membawa kepada pertumbuhan positif,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, persekitaran luaran dilihat baik berikutan pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) di bawah Joe Biden komited untuk menyuntik ekonomi dengan jumlah suntikan fiskal yang banyak.

Katanya, pendapatan tambahan daripada harga minyak mentah yang meningkat akan turut memberi ruang kepada kerajaan Malaysia untuk memperkenalkan langkah-langkah fiskal.

“Bagaimanapun, situasi adalah tidak menentu dan ia bergantung kepada kejayaan dan pelancaran program vaksinasi yang tepat pada masanya.

“Semakin cepat negara mencapai imuniti kelompok, lebih cepat ekonomi pulih,” kata Mohd Afzanizam.

Menurut beliau, pertumbuhan IPP sebanyak 1.7 peratus pada Disember 2020 adalah lebih baik daripada jangkaan berbanding unjuran konsensus penguncupan 1.0 peratus, terutama berikutan peningkatan sebanyak 4.2 peratus dalam sektor pembuatan daripada pertumbuhan sebanyak 2.0 peratus pada bulan sebelumnya.

Beliau berkata, momentum pemulihan akan dipengaruhi oleh sekatan dalam pergerakan manusia dan pematuhan yang ketat terhadap prosedur operasi standard Kementerian Kesihatan.

“Pergerakan antara negeri dibenarkan manakala lebih banyak perniagaan telah beroperasi sepenuhnya pada Disember. Ini membantu meningkatkan aktiviti ekonomi di samping perayaan dan sambutan Tahun Baru.

“Bagaimanapun, perkara sama tidak dapat dikatakan dalam situasi ekonomi semasa apabila Perintah Kawalan Pergerakan telah dilaksanakan semula di hampir semua negeri,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon