B. Malaysia

|

|

This site
is mobile
responsive


FCZ NBCT akan tingkatkan aktiviti pemindahan Pelabuhan Pulau Pinang

FCZ NBCT akan tingkatkan aktiviti pemindahan Pelabuhan Pulau Pinang

08 Feb 2021

Penang Port Sdn Bhd (Penang Port) akan menjadi pusat tumpuan untuk aktiviti penghantaran dan pemindahan berikutan satu daripada terminal utamanya, Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), telah diwartakan sebagai zon komersial bebas (FCZ) baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata proses untuk mendapatkan status FCZ merupakan tugas yang berat.

“Sejak 2007, Penang Port telah memulakan inisiatif untuk mewartakan NBCT sebagai FCZ. Hanya pada 2018 apabila Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang  (SPPP)  dan Penang Port akhirnya melihat semula pelan untuk mewartakan seluruh  NBCT dengan memohon kelulusan dan sokongan daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri Pulau Pinang.

“Pewartaan NBCT melibatkan 10 lot tanah seluas  83.57 hektar. Antara aktiviti yang paling memberi impak selepas mewartakan  NBCT sebagai FCZ ialah pemindahan. Pemindahan ialah penghantaran barangan atau kontena ke destinasi perantaraan sebelum dibawa ke destinasi lain,” katanya.

Selain daripada peluang pekerjaan, syarikat itu berkata pelabuhan tersebut dapat memanfaatkan status FCZ untuk menarik minat pelabur di seluruh dunia untuk melakukan aktiviti nilai tambah seperti pecah pukal, penggredan, pembungkusan semula, pelabelan semula, transit dan dieksport semula.

Dengan penubuhan FCZ di NBCT, katanya syarikat asing akan dapat menggunakan kemudahan tersebut sebelum mengeksport produk mereka ke luar negara.

“Ini akan turut memberi manfaat kepada Pelabuhan Pulau Pinang dalam jangka masa panjang melalui pengecualian duti kastam, duti eksais, cukai jualan dan cukai perkhidmatan kecuali untuk barangan tertentu.

“Tenaga kerja tempatan dan operasi pelabuhan akan menjadi lebih cekap apabila kemudahan dinaik taraf, teknologi terkini dilaksanakan dan diperkenalkan untuk memberi perkhidmatan kepada pelabur asing,” katanya.

Operasi FCZ akan bermula pada Mac  dan ini akan menempatkan Pulau Pinang di peta dunia berikutan  NBCT akan dapat memenuhi aktiviti seperti kemudahan pergudangan dan logistik berteknologi tinggi, sekali gus menerajui pertumbuhan ekonomi yang positif di wilayah utara Malaysia.

Sementara itu, katanya selepas selesai projek NBCT T1, kapasiti keseluruhan akan naik kepada 2.3 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) daripada 2.1 juta TEU.

“Peningkatan 200,000 TEU akan meningkatkan penggunaan dermaga dan mengurangkan masa menunggu kapal untuk berlabuh,” katanya.  

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X