B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


IGEM 2021 jana potensi pelaburan perniagaan RM4.6 bilion

IGEM 2021 jana potensi pelaburan perniagaan RM4.6 bilion

22 Feb 2022

Persidangan dan Pameran Antarabangsa Greentech dan Produk Eko Malaysia Ke-12 (IGEM 2021) yang berakhir Disember tahun lalu, menjana potensi pelaburan perniagaan bernilai RM4.6 bilion, meningkat 35. 3 peratus berbanding RM3.4 bilion yang dicatatkan pada edisi sebelumnya.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata dalam tempoh enam bulan penganjuran, IGEM 2021 telah mencatatkan lebih 15,000 pelawat berdaftar yang terdiri daripada syarikat awam berhad, usahawan mikro, kecil dan sederhana, agensi kerajaan, ahli akademik dan orang awam yang berminat terhadap kepelbagaian produk dan perkhidmatan teknologi hijau inovatif yang ditampilkan dalam 195 gerai pameran secara maya.

Selain itu katanya, sebanyak 144 sesi persidangan membabitkan 26 rakan persidangan yang terdiri daripada 250 pakar telah berjaya dianjurkan, manakala rekod kehadiran peserta persidangan mencecah seramai 8,496 perwakilan peringkat nasional dan antarabangsa.

“IGEM 2021 adalah penganjuran kali kedua secara dalam talian. Ia adalah platform para usahawan, peniaga dan pemain industri untuk memacu pertumbuhan sektor hijau melalui penerokaan peluang baharu, perkongsian pintar, pembinaan rangkaian strategik, merungkaikan cabaran dan pembangunan teknologi ke arah agenda kelestarian.

“Antara usaha niaga yang ditandatangani terdiri daripada sektor hidrogen, kenderaan elektrik dan bandar rendah karbon.

“Semua sektor ini dilihat banyak menyokong agenda ekonomi mampan, peluang pekerjaan dan limpahan manfaat kepada rakyat,” katanya pada sidang media mengumumkan pencapaian IGEM 2021 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Mansor Othman. Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC), Shamsul Bahar Mohd Nor.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, setelah dua tahun IGEM diadakan secara dalam talian, penganjuran IGEM Ke-13 akan diadakan secara hibrid, dijangka pada bulan Oktober 2022. Katanya, platform digital www.virtual.igem.my akan dibuka dan format fizikal akan berlangsung selama tiga hari bermula 12 Oktober hingga 14 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Edisi maya akan bermula sebulan sebelum sesi fizikal. Pelaksanaan IGEM 2022 juga telah menetapkan sasaran potensi perniagaan sebanyak RM3 bilion, dihadiri oleh 30,000 pelawat dan 300 buah pameran yang akan disediakan.

“IGEM 2022 ini akan menjadi tumpuan utama di kalangan pihak berkepentingan dalam pelaksanaan dan penyelarasan strategi yang lebih berkesan terhadap perubahan iklim negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X